mutakhir

3 lelaki dituduh serang pegawai imigresen

Melaka: Tiga lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, semalam, atas tuduhan menyerang pegawai imigresen yang menjalankan tugas di sebuah pusat hiburan di Taman Melaka Raya, di sini, pada 30 September lalu.

Bagaimanapun, ketiga-tiga tertuduh, Pang Chian Chuen, 30, dari Malim, Victor Frank Bateman, 24, dari Malim dan Mohd Fadzlinuddin Mohd Haris, 35, dari Taman Melaka Raya, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mohd Firdaus Saleh.

Berdasarkan pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh bersama-sama beberapa lagi yang masih bebas didakwa menyerang penjawat awam yang juga pegawai imigresen, Mohd Yusof Hashim, 53, ketika menjalankan tugas di sebuah premis hiburan Ninety Eight Bar & Karaoke di Taman Melaka Raya, di sini, jam 12.30 pagi pada 30 September lalu.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashraf Abd Hamid mencadangkan setiap tertuduh dijamin RM10,000.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Faiezad Razali merayu supaya ketiga-tiga anak guamnya dibenarkan jaminan yang rendah.

Katanya, ketiga-tiga anak guamnya berpendapatan rendah dengan gaji di bawah RM1,000, menanggung ibu bapa serta anak kecil.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Mohd Firdaus kemudian membenarkan ketiga-tiga tertuduh, masing-masing dijamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 November depan untuk sebutan semula kes.

Disiarkan pada: October 9, 2015 @ 6:48am
d