mutakhir

Tinggal jenazah dalam hutan

Oleh Mohammad Ishak

Jertih: Seorang wanita berjalan sejauh dua kilometer (km) untuk mendapatkan bantuan orang kampung selepas suaminya meninggal dunia ketika menebang pokok buluh di Kampung Padang Buluh, Pasir Akar, dekat sini, pagi kelmarin.

Normah Ali, 55, dari Kampung Kayu Kelat, dekat sini, yang terkejut melihat suaminya, Ismail Mahmud, 58, rebah di bawah rimbunan pokok buluh yang ditebang di tepi sungai meninggalkan jenazah untuk mendapat bantuan orang ramai.

Katanya, dia bersama suami ke hutan berkenaan jam 10 pagi untuk mencari buluh untuk dijadikan pencucuk sate.

“Apabila kami tiba di lokasi jam 12 tengah hari, arwah terus menebang tiga batang buluh dan tidak lama kemudian dia rebah serta tidak sedarkan diri.

“Saya dapati dia tidak bernyawa lalu keluar dari hutan untuk meminta bantuan penduduk kampung berhampiran kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian,” katanya, di rumahnya, semalam.

Normah berkata, dia meninggalkan jenazah kerana tempat itu agak jauh dari laluan orang ramai selain tidak mampu mengangkat suaminya itu.

“Sehari sebelum kejadian, arwah menunjukkan sikap luar biasa apabila pulang ke rumahnya dengan memandu kereta melalui jalan lain pada waktu malam.

“Saya pelik kerana arwah jarang lalu jalan itu sebelum ini apabila kami pulang daripada menjual sate di Pasir Akar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Khaled Che Lah berkata, polis mengklasifikasikan kematian mangsa sebagai mati mengejut.

Menurutnya, bedah siasat di Hospital Besut mengesahkan mangsa meninggal dunia disebabkan serangan jantung.

Disiarkan pada: October 10, 2015 @ 4:55am
d