mutakhir

Kongsi 86,000 nama

Oleh BERNAMA

Washington DC: Amerika Syarikat (AS) memuji serta menyokong inisiatif Malaysia untuk mewujudkan sebuah pusat digital serantau bagi mengekang pengaruh dan propaganda kumpulan pelampau melalui laman media sosial.

Selain menyatakan sokongan, negara itu juga bersetuju untuk berkongsi sistem pangkalan data yang mempunyai maklumat kira-kira 86,000 orang yang disyaki pengganas yang diuruskan Pusat Saringan Pengganas, di sini.

Setiausaha Negaranya, John Kerry menyatakan sokongan Washington terhadap cadangan penubuhan Pusat Serantau Digital Memerangi Mesej Melalui Komunikasi ketika mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di sini, kelmarin.

“Amerika memberi komitmen untuk membantu (penubuhan pusat itu di Kuala Lumpur) dalam aspek latihan, peralatan dan kaedah operasi,” kata Ahmad Zahid kepada wartawan Malaysia selepas pertemuan itu.

Pertemuan kedua-dua pemimpin itu diadakan selepas mereka menandatangani dokumen Aturan Arahan Presiden Keselamatan Negara No.6 (HSPD-6) di Jabatan Negara di sini.

HSPD-6 adalah dokumen yang perlu ditandatangani negara bagi menyertai Program Pengecualian Visa Amerika Syarikat. Malaysia adalah negara ke-39 berbuat demikian.

Ahmad Zahid berkata, AS amat prihatin dengan usaha Malaysia yang kini Pengerusi ASEAN untuk menubuhkan pusat itu memandang mesej dakyah kumpulan militan IS begitu berpengaruh.

Malah, kata Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, sehingga 87 peratus daripada individu yang terbabit dengan IS adalah melalui komunikasi media sosial.

Idea penubuhan pusat serantau itu diutarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika berucap pada Sidang Kemuncak Pemimpin mengenai Pembanterasan ISIL dan Keganasan Melampau yang dipengerusikan Presiden Barack Obama di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), 29 Oktober lalu.

Mengenai pangkalan data senarai individu disyaki pengganas, Ahmad Zahid berkata, kini pihak berkuasa Malaysia boleh mendapat akses terhadap maklumat itu secara terus daripada pihak Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI).

“Dulu kita terpaksa menggunakan Interpol sebagai saluran untuk mendapatkan maklumat tetapi sekarang kita boleh memperolehnya secara terus daripada FBI untuk tindakan segera,” katanya.

Pada masa sama, Malaysia juga berkongsi maklumat mengenai senarai individu yang disabitkan mengenai jenayah keganasan oleh mahkamah tempatan termasuk senarai individu yang dikenakan tindakan di bawah Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA) dan Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).

POTA yang diluluskan Parlimen pertengahan tahun ini berkuat kuasa 1 September lalu.

Ahmad Zahid juga berkata, beliau menerangkan kepada Kerry mengenai inisiatif Malaysia ke arah mengadakan Konvensyen Antarabangsa mengenai Deradikalisasi yang bertujuan menyediakan templat dan piawaian bagi langkah pemulihan.

“Dengan ini Malaysia menjadi tumpuan kerana berada di barisan depan untuk membantu komuniti antarabangsa dalam menyelesaikan perlakuan keganasan di peringkat serantau dan antarabangsa,” katanya.

Pertemuan dengan Kerry itu turut dihadiri Duta Malaysia di Amerika Syarikat, Datuk Dr Awang Adek Hussin dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim.

Topik lain yang dibincangkan dalam pertemuan itu ialah mengenai soal kedaulatan dan ancaman di Laut China Selatan, Perjanjian Perkongsian Rentas Pasifik, usaha Malaysia dalam menangani isu pemerdagangan manusia di rantau ASEAN dan tawaran Malaysia untuk menerima 3,000 pelarian Syria.

Disiarkan pada: October 10, 2015 @ 5:12am
d