mutakhir

Lima dituduh teroka hutan Bukit Cherakah

Shah Alam: Tiga lelaki tempatan dan dua lelaki Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam, atas tuduhan meneroka hutan simpan Bukit Cherakah di sini, pada 18 hingga 20 September lalu.

Semua tertuduh mengaku bersalah atas dua pertuduhan berasingan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Ellyana Razali.

Dua warga Indonesia Jamaludin, 49, dan Ahmad Fadil, 35, mengaku bersalah menebang dan memotong 17 balak di hutan simpan Bukit Cherakah, jam 10.15 pagi, 18 September lalu.

Manakala Azhar Sabidin, 46, didakwa memindahkan kayu berkenaan menggunakan jengkaut buatan CASE bernombor pendaftaran WB 2165 A ketika menjalankan kerja membaiki jalan di dalam hutan itu pada jam 3 petang, 20 September lalu.

Ketiga-tiganya didakwa mengikut Seksyen 81(1)(b) Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 81(2)(b) dan 81(3) enakmen sama yang sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Mereka juga boleh dikenakan penalti dengan membayar kepada pihak berkuasa negeri 10 kali ganda nilai mana-mana pokok atau kayu dan memperbaiki sebarang kerosakan hutan yang dilakukan.

Ellyana menjatuhkan hukuman denda RM5,000 terhadap Jamaludin dan Ahmad Fadil dan penjara 30 hari manakala Azhar turut dikenakan denda jumlah sama dan boleh dipenjara jika gagal membayar denda.

Disiarkan pada: October 10, 2015 @ 5:36am
d