mutakhir

11 PATI kantoi sebelum sempat naik bot

Johor Bahru: Perancangan seorang tekong menyeludup keluar 11 pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi perairan Sedili lumpuh apabila ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor di Jalan Pantai Kuala Sedili Kecil, Kota Tinggi, kelmarin.

Ketika ditahan pada jam 12.09 tengah malam, tekong berusia 30 tahun itu bersama kumpulan PATI berasal dari Indonesia baru tiba di kawasan berhampiran pantai dengan menaiki kereta pelbagai guna (MPV) Nazaria yang dipandu lelaki berkenaan.

Mereka bagaimanapun tidak sempat menaiki bot pancung yang disediakan tekong berkenaan dalam cubaan keluar dari negara ini.

Komander PPM Wilayah Dua Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, serbuan dilakukan pasukan PPM Pengerang ketika menjalankan operasi Ops Landai berdasarkan maklumat penyusupan PATI yang diterima.

“PPM Pengerang bertindak atas maklumat dan menyerbu MPV Nazaria hitam yang dipercayai menggunakan nombor pendaftaran palsu.

“Hasil pemeriksaan,11 PATI dan pemandu MPV yang juga tekong warga tempatan ditahan selain MPV berkenaan dirampas.

“Semua PATI yang ditahan berusia antara 22 hingga 44 tahun.

“Siasatan mendapati mereka mengaku secara lisan hendak keluar dari negara ini menggunakan jalan yang tidak diwartakan dengan menaiki bot pancung,” katanya.

Paul berkata, tekong dan PATI terbabit dibawa ke Balai Polis Bandar Penawar sebelum dihantar ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 serta Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002).

Disiarkan pada: October 11, 2015 @ 5:06am
d