mutakhir

'Tiada langsung isu 1MDB dibangkitkan'

Washington DC: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, persoalan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bukan menjadi perhatian utama pihak Washington termasuk Biro Siasatan Persekutuan (FBI).

“Mungkin perkara ini besar kerana diuar-uarkan di dalam negara (Malaysia) kerana di negara kita ia dijadikan isu politik,” kata Ahmad Zahid kepada wartawan Malaysia, di sini, kelmarin.

Ahmad Zahid yang dalam rangka lawatan kerja di pusat pentadbiran Amerika Syarikat berkata, perkara mengenai 1MDB tidak dibangkitkan langsung ketika pertemuan beliau dengan Setiausaha Negara Amerika John Kerry dan juga perbincangan dengan pegawai FBI.

“Tidak ada persoalan mengenai 1MDB dibangkitkan oleh pihak FBI atau John Kerry atau mana-mana pihak yang saya temui semasa saya berada di Washington,” kata beliau apabila ditanya berhubung laporan media sebelum ini bahawa FBI memulakan penyiasatan berkaitan 1MDB.

“(1MDB) tidak menjadi isu besar kepada mereka langsung,” katanya.

Ahmad Zahid bertemu Kerry di Jabatan Negara, di sini, Khamis lalu untuk menandatangani dokumen Aturan Arahan Presiden Keselamatan Negara No.6 (HSPD-6), bagi membolehkan Malaysia menjadi negara ke-39 menyertai Program Pengecualian Visa Amerika Syarikat.

Selain pertemuan dengan Kerry, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri juga mengadakan perbincangan dengan Agensi Perisikan Persekutuan (CIA) dan FBI yang menyentuh isu keganasan ISIS, keadaan keselamatan di Laut China Selatan dan soal migrasi.

Timbalan Perdana Menteri seterusnya menasihatkan orang ramai supaya jangan terpengaruh dengan pelbagai kenyataan kononnya agensi antarabangsa, khususnya di Amerika Syarikat melakukan siasatan berdasarkan dakwaan beberapa individu dari Malaysia yang dikatakan bertemu dengan pihak berkenaan.

“Saya bertemu Timbalan Pengarah FBI (Mark F Giuliano) dan pegawai kanan FBI. Tidak ada satu perkataan pun disebut mengenai 1MDB,” katanya.

Katanya, turut bersama beliau dalam pertemuan itu ialah Duta Malaysia di Amerika Syarikat Datuk Dr Awang Adek Hussin dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Alwi Ibrahim.

“Saya tidak tahu (berita itu) datang dari mana? Saya jumpa FBI dan pihak-pihak lain tidak timbul langsung mengenai perkara itu,” katanya. - BERNAMA

Disiarkan pada: October 11, 2015 @ 5:08am
d