mutakhir

Elak tersesat dalam jerebu

Kuantan: Nelayan yang masih menjalankan aktiviti menangkap ikan di laut perlu lebih berhati-hati bagi mengelak kejadian tidak diingini dalam keadaan jerebu melanda negara ketika ini.

Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Datuk Ismail Abu Hassan berkata, kejadian kemalangan dan tersesat boleh berlaku terutama apabila jarak penglihatan tidak jelas.

Katanya, keadaan jerebu yang melanda negara kini mengundang bahaya kepada nelayan terutama bot yang tidak mempunyai peralatan moden.

“Nelayan yang masih meneruskan aktiviti menangkap ikan di laut dinasihat menyediakan kelengkapan perhubungan selain alat sistem pengesanan global (GPS) yang dapat mengesan kedudukan dan laluan.

“Saya menasihati nelayan laut yang tidak mempunyai kemudahan berkenaan supaya tidak meneruskan aktiviti bagi menjamin keselamatan terutama apabila jarak penglihatan tidak jelas.

“Kemalangan dengan kapal dagang boleh berlaku terutama di kawasan perairan yang sibuk termasuk berhampiran pelabuhan utama di negara ini,” katanya ketika ditemui di jeti Jabatan Perikanan Pahang, Padang Lalang, kelmarin.

Ismail berkata, sejak jerebu melanda negara lebih dua minggu lalu, pihaknya tidak menerima aduan kemalangan membabitkan bot nelayan di laut.

Disiarkan pada: October 12, 2015 @ 6:40am
d