mutakhir

PKR masih mengharap PAS

Petaling Jaya: Parti Keadilan Rakyat (PKR) masih menaruh harapan terhadap PAS untuk menganggotai gabungan Parti Harapan dan keputusan itu dibuat menerusi mesyuarat khas Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu.

MPP khas turut menggariskan empat resolusi termasuk membuka keanggotaan terhadap parti lain terutama PAS untuk menyertai parti gabungan itu.

Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali berkata, parti itu mengambil langkah dalam suasana kondusif terhadap semua parti rakan termasuk PAS supaya dapat mengukuhkan lagi gabungan berkenaan.

“Keanggotaan terhadap parti gabungan ini terbuka kepada parti rakan yang sehaluan. PAS serta parti lain turut dijemput untuk memantapkan lagi gabungan ini.

“Saya juga menggesa terhadap semua pimpinan parti rakan supaya menghormati perbezaan pendapat antara satu sama lain sekali gus mengembalikan keyakinan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan MPP khas, semalam.

Mohamed Azmin berkata, pihaknya tidak meletakkan tempoh masa untuk penggabungan dan perkara yang penting adalah setiap parti rakan perlu menghormati setiap pandangan.

Menurutnya, agenda reformasi masih sama dan parti rakan yang sehaluan boleh menganggotai gabungan ini termasuk parti lain di Sabah serta Sarawak.

Mohamed Azmin berkata, resolusi yang digariskan turut meletakkan had sempadan terhadap mana-mana parti rakan supaya tidak mencampuri urusan dalaman parti lain sekali gus menghormati setiap perbezaan pandangan mengenai isu tertentu.

Menurutnya, MPP khas ini diadakan hasil daripada permohonan 25 pimpinan parti itu supaya mengadakan satu pertemuan khas untuk membincangkan masalah dalaman parti serta langkah pengukuhannya.

Disiarkan pada: October 12, 2015 @ 8:25am
d