mutakhir

Stor dokumen hotel terbakar

Kota Bharu: Sebuah stor simpanan dokumen di sebuah hotel musnah dalam kebakaran di Jalan Pasar Lama, di sini, semalam.

Kejadian jam 3.20 petang itu disedari pekerja hotel berkenaan yang kemudian memaklumkannya kepada bomba.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu Mohd Rozi Jusoh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.34 petang sebelum empat jentera bersama 20 anggota bergegas ke tempat kejadian.

“Setiba di lokasi kejadian, asap didapati menyelubungi stor sementara yang terletak di tingkat lima bangunan hotel berkenaan.

“Pemeriksaan mendapati stor yang hanya mengandungi dokumen serta peralatan hotel itu sebahagiannya sudah musnah,” katanya.

Menurutnya, api berjaya dipadam sepenuhnya 10 minit kemudian.

“Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya.

Disiarkan pada: October 12, 2015 @ 8:32am
d