mutakhir

Kayuhan mesej perangi kanser

Oleh Fazurawati Che Lah

Kuala Lumpur: Seramai 700 penunggang basikal menyertai pelancaran Kempen Riben Merah Jambu 2015 Wacoal bersama The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) bagi mempromosi kesedaran barah payu dara kepada orang ramai, di sini, semalam.

Kayuhan basikal sejauh 24 kilometer bermula di Balai Berita NSTP itu melalui beberapa laluan seperti Jalan Travers, Jalan Tunku Abdul Rahman, Jalan Conlay, Persiaran KLCC dan Jalan Pudu sebelum berpatah balik ke NSTP.

Pengarah Eksekutif Wacoal Malaysia Sdn Bhd Takashi Watanabe berkata, program kerjasama dengan media itu bertujuan membantu orang ramai menerima maklumat mengenai kepentingan mengesan awal tanda barah payu dara.

“Kempen kali kedua bersama NSTP ini juga sebahagian tanggungjawab sosial korporat kami bagi mempromosikan kempen ini yang dijalankan pada Oktober setiap tahun.

“Tema baju merah jambu dengan mesej melawan barah payu dara bertujuan menarik perhatian orang ramai di sekitar kawasan ini supaya memaklumkan dan menyebarkan maklumat kepada orang tersayang mengenai kesedaran dan kesan barah payu dara,” katanya ketika ditemui, semalam.

Pelepasan peserta bermula jam 8 pagi di Balai Berita, di sini, dilancarkan Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) Datuk Abdul Jalil Abdul Hamid.

Takashi berkata, sejak Wacoal ditubuhkan pada 1949 di Jepun, prinsip asas Wacoal sehingga kini masih dipegang iaitu untuk menyumbang kepada masyarakat dengan membantu wanita meningkatkan kecantikan mereka.

Sementara itu, pada acara berkenaan pelbagai aktiviti turut dijalankan bersama peserta antaranya cabutan bertuah dan pemberian baucer sebanyak RM1,000 bagi kategori basikal tercantik.

Disiarkan pada: October 12, 2015 @ 8:34am
d