mutakhir

'Sahabat baik tak perlu tunduk'

Oleh BERNAMA

Washington DC: Kesediaan Washington bekerjasama rapat dengan Malaysia dalam hal keganasan, jenayah rentas sempadan dan pengecualian visa bakal membuka era baru kepada hubungan kedua-dua negara, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, Malaysia melihat sikap positif pemimpin Amerika Syarikat terhadap pentadbiran Putrajaya itu berikutan selesainya rundingan Perkongsian Rentas Pasifik (TPP) di Atlanta baru-baru ini.

Namun begitu, Dr Ahmad Zahid berkata, perkembangan itu tidak bererti Malaysia harus tunduk kepada Amerika.

“Sahabat yang baik tidak perlu tunduk, tetapi mereka menghargai sumbangan kita terutama dalam penyelesaian permasalahan keganasan dan jenayah rentas sempadan,” katanya kepada sekumpulan rakyat Malaysia yang berhimpun di pekarangan kediaman rasmi Duta Malaysia, di sini, sempena sambutan Hari Sukan Negara, semalam.

Pada waktu yang sama, katanya, Malaysia tetap menghormati hubungan dengan kuasa besar dunia lain terutama negara yang juga jiran yang lebih dekat.

Katanya, semasa di pusat pentadbiran Amerika, beliau dapat merasakan rasa hormat terpancar ketika perjumpaan dengan beberapa pemimpin Amerika Syarikat.

“Walaupun kita sebuah negara kecil dan Amerika negara besar, tetapi rasa hormat itu wujud dan kita lihat keserasian dalam perbincangan itu mereka menghargai apa yang dilakukan Malaysia,” katanya.

Antara program Dr Ahmad Zahid di sini ialah menandatangani dokumen Arahan Presiden Keselamatan Negara No 6 dengan Setiausaha Negara John Kerry, bagi membolehkan Malaysia menyertai program pengecualian visa Amerika Syarikat.

Sebelum beliau berkunjung ke sini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bersama-sama beberapa menteri Kabinet turut menghadiri sesi utama di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York manakala Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berada di Atlanta untuk menyelesaikan rundingan TPP.

Bercakap mengenai TPP kepada wartawan Malaysia kemudian, katanya, Amerika memahami dan menghormati dasar Malaysia yang perlu dipertahankan apabila kerjasama itu dilaksanakan kelak.

Oleh itu, menurutnya, jangan timbul keraguan oleh mana-mana pihak di Malaysia kononnya hak yang selama itu termaktub dalam dasar negara akan diketepikan.

Mengenai kemungkinan tentangan apabila TPP dibahas oleh Kongres Amerika, Duta Malaysia di Amerika Datuk Dr Awang Adek Hussin yang turut bersama Dr Ahmad Zahid berkata, walaupun dijangka wujud bantahan, akhirnya Kongres dijangka akan meluluskan TPP yang membabitkan Malaysia.

Katanya, keyakinan itu disuarakan Wakil Perdagangan Amerika Michael Froman semasa pertemuan sarapan pagi dengan Dr Ahmad Zahid, baru-baru ini.

Selain Amerika dan Malaysia, TPP turut membabitkan Australia, Brunei Darussalam, Chile, Jepun, Kanada, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam.

Mengenai program pengecualian visa, katanya lagi, rakyat Malaysia harus menghargai pengiktirafan itu apabila Malaysia menjadi negara ke-39 menyertai program terbabit.

“Saya mendapat komen positif rakyat Malaysia yang berada di Amerika Syrikat rakyat yang mempunyai kebolehan, golongan profesional dan sentiasa menjaga nama baik negara,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, Malaysia akan mengkaji struktur Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan (FEMA) untuk diguna pakai oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara yang baru ditubuhkan 2 September lalu.

Disiarkan pada: October 12, 2015 @ 8:41am
d