mutakhir

Tiada bukti serpihan MH370

Oleh Siraj Mohd Zaini

Kuala Lumpur: Tiada bukti yang menyatakan serpihan pesawat ditemui di Pulau Sugbay, selatan Filipina milik MH370 dilaporkan hilang pada 8 Mac 2014.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya bekerjasama dengan pihak berkuasa Filipina bagi mengesahkan laporan diterima mengenai serpihan pesawat berkenaan.

Menurutnya, tiada gambar disertakan dalam laporan itu dan pihak berkuasa Filipina kini membuat pengesahan di lokasi terbabit.

“Kami menunggu pihak berkuasa di sana membuat pemeriksaan, tapi sehingga kini kita belum terima apa-apa maklumat lagi.

“Laporan itu menyatakan mengenai bendera Malaysia saja, tiada gambar. Saya jangka satu atau dua hari lagi kita akan dapat pengesahan sebab ia membabitkan isu besar,” katanya ketika ditemui di Majlis Perasmian Penutup Kejohanan Sukan 4 Penjuru (SUKEP) 2015 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), di sini, semalam.

Kelmarin, Ibu Pejabat Polis Sandakan, Sabah menerima satu laporan berhubung penemuan serpihan pesawat yang tertera bendera Malaysia dipercayai milik MH370 di sebuah pulau di selatan Filipina.

Difahamkan, laporan polis itu dibuat seorang penduduk di kepulauan itu yang datang sendiri ke Sandakan.

Sebelum ini, pasukan penyiasat mengesahkan serpihan dikenali sebagai ‘flaperon’ yang ditemui di pantai Pulau Reunion, Lautan Hindi milik MH370.

Pesawat malang itu membawa 239 penumpang dan dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing sebelum dilaporkan hilang.

Disiarkan pada: October 12, 2015 @ 8:49am
d