mutakhir

Nyawa terancam tanpa mesin khas

Kuala Lumpur: “Kami masih memerlukan RM35,000 untuk membeli mesin alat Nutrisi Parenteral (TPN), jika tak nyawa anak saya terancam kerana dia bergantung hidup kepada mesin itu,” kata Rosnani Jaafar, 36, ibu kepada Muhammad Qushairy Zakaria, berusia dua tahun.

Muhammad Qushairy memerlukan dua mesin TPN kerana menghidap masalah ‘authoimmune enthropaty’ iaitu bahagian dalam ususnya tidak mempunyai rambut untuk menyerap zat makanan.

Rosnani berkata, anaknya membesar bergantung nutrisi yang disalurkan ke salur darah dan terus ke jantung.

“Dia boleh makan secara normal tapi dalam kuantiti yang sedikit akibat masalah usus yang dihidapinya.

“Doktor sudah membenarkan anak saya pulang ke rumah, tapi kami mesti menyediakan bilik khas supaya dia tidak terdedah kepada jangkitan kuman,” katanya ketika ditemui sempena lawatan sukarelawan ke Wad Kanak-Kanak Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), di sini, semalam.

Sementara itu, wakil sukarelawan Natipah Abu berkata, lawatan ini tidak membabitkan mana-mana badan bukan kerajaan (NGO).

“Kunjungan kami di PPUM berdasarkan maklumat orang ramai dan kami berkongsi semampu kami untuk menghulurkan bantuan serta sumbangan kepada pihak memerlukan,” katanya.

Disiarkan pada: October 12, 2015 @ 9:04am
d