mutakhir

Intip penyeludup

Oleh Mohd Hanafis Abdul Haris dan Mustapha Ismail

Batu Pahat: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Batu Pahat menggagalkan cubaan penyeludupan rokok di daerah itu apabila merampas 15,000 karton rokok bernilai RM80,000 bersama sebuah bot dalam operasi di Perairan Semerah, dekat sini, awal pagi kelmarin.

Ketua Penguatkuasa Maritim Batu Pahat Leftenan Komander Maritim Muhammad Zulkarnain Abdullah berkata, kejayaan itu hasil serbuan lima anggotanya ke lokasi berkenaan berdasarkan maklumat awam diterima berkaitan aktiviti penyeludupan pada jam 5.30 pagi.

Katanya, intipan ke lokasi berkenaan menemui dua bot sedang melakukan pemindahan barang dipercayai barangan seludup.

“Sejurus tiba di lokasi kejadian, didapati dua bot sedang melakukan kegiatan pemindahan barang dipercayai barangan seludup.

“Apabila pihak kita cuba menghampiri, kedua-dua bot terus memecut laju meninggalkan lokasi berkenaan dan salah satunya menuju ke daratan,” katanya.

Menurutnya, dua individu yang menuju ke darat itu melarikan diri dan meninggalkan bot gentian kaca berkenaan di tepi perairan di situ.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut ke atas bot berkenaan menemui sebanyak 30 kotak berisi 15,000 karton rokok putih jenama Texas 5 dianggarkan bernilai RM80,000.

“Malah, bot gentian kaca yang digunakan termasuk enjin jenis Mercury 90 kuasa kuda turut dirampas dan dibawa ke jeti untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967,” katanya.

Disiarkan pada: October 12, 2015 @ 9:27am
d