mutakhir

Tarikan tulisan khat 1 kilometer

Oleh Ainul Fatihah Mansor

Putrajaya: Tulisan khat sepanjang satu kilometer antara tarikan baru bagi penganjuran Festival Kebudayaan dan Kesenian Islam Antarabangsa (PIIACUF) 2015 yang akan berlangsung pada 29 Oktober hingga 1 November depan.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, tulisan khat antara kelainan yang dipaparkan pada festival itu di mana ia juga akan diiktiraf sebagai tulisan khat terpanjang pernah dihasilkan di negara ini oleh Malaysia Book of Records (MBOR).

Beliau berkata, tarikan itu akan memberi penghayatan kesenian khat kepada pengunjung selain mencetuskan minat kanak-kanak sekolah terhadap seni khat.

“Sehubungan itu, Biro Agama UMNO Bahagian Putrajaya akan bekerjasama dengan Gajir Calligraphy dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Putrajaya untuk menyediakan tulisan sepanjang satu kilometer berkenaan.

“Hasil usaha itu akan dipamerkan ketika PIIACUF di hadapan Dewan Persidangan Perbadanan Putrajaya (PPj), Presint 3,” katanya ketika berucap pada Majlis Pra Pelancaran PIIACUF 2015 dan Festival Light and Motion Putrajaya (LAMPU) 2015 di sini, semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan Datuk Seri Adnan Md Ikshan.

Hadir sama Presiden PPj Datuk Hasim Ismail.

PIIACUF 2015 akan berlangsung dari 29 Oktober hingga 1 November depan bermula jam 9 pagi hingga 11 malam setiap hari manakala pada sebelah malamnya pula Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan akan diterangi oleh acara LAMPU 2015 pada 30 Oktober hingga 1 November dari jam 7.30 malam hingga 12 tengah malam.

Disiarkan pada: October 14, 2015 @ 8:00am
d