mutakhir

Parah hentam pokok gara-gara elak lembu

Kampar: Seorang pemandu lori berdepan detik cemas apabila tersepit separuh badan di dalam lori selepas kenderaan dipandunya terbabas lalu merempuh pokok ketika cuba mengelak sekumpulan lembu yang melintas di Simpang Keboi, Kampung Jeram, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 pagi, mangsa, K Kirankumar, 24, yang dalam perjalanan dari Ipoh ke Kampar parah di kaki sebelum dikejarkan ke Hospital Kampar untuk rawatan.

Saksi kejadian Muhamad Faizul Zainal, 27, berkata, dia yang dalam perjalanan pulang dari surau terkejut selepas terdengar bunyi dentuman sebelum melihat sebuah lori terjunam di antara celah pokok di kawasan curam di tepi jalan.

“Saya bergegas ke kawasan itu sebelum mendengar jeritan pemandu lori meminta tolong, tetapi saya dan beberapa orang awam gagal mengeluarkannya kerana kakinya tersepit.

“Mangsa tersepit separuh badan dari pinggang ke kaki dan beberapa penduduk kampung membantu mengawal lalu lintas jalan raya sementara menunggu anggota bomba tiba,” katanya ketika ditemui Harian Metro.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Disiarkan pada: October 15, 2015 @ 9:05am
d