mutakhir

STAGG tahan 94 GRO

Manjung: Seramai 94 pelayan pelanggan (GRO) warga Vietnam dan Thailand ditahan polis dalam serbuan serentak di tiga premis pusat karaoke, di sini, kira-kira jam 12 tengah malam, semalam.

Serbuan digerakkan Skuad Taktikal Khas Anti maksiat, Perjudian dan Gengsterisme (STAGG) Bukit Aman itu turut menahan tujuh penjaga serta pekerja premis terbabit, malah seorang daripada mereka adalah warga Myanmar.

Ketua Penolong Pengarah STAGG Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, daripada jumlah GRO itu, 93 daripadanya adalah warga Vietnam, manakala seorang daripadanya warga Thailand, malah ketika ditahan semua mereka gagal menunjukkan dokumen perjalanan.

Katanya, dua daripada premis yang terletak di Bandar Seri Manjung didapati gagal menunjukkan lesen hiburan ketika diminta pegawai STAGG, manakala sebuah lagi yang terletak di Sitiawan tidak mempunyai lesen hiburan.

“Polis turut merampas wang tunai lebih RM6,000, buku rekod hasil kutipan, buku rekod pekerja dan resit penjualan minuman keras.

“Semua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c), Seksyen 55B dan Seksyen 56(1), Akta Imigresen serta Enakmen Hiburan Negeri Perak kerana kesalahan tiada lesen hiburan,” katanya ketika dihubungi.

Disiarkan pada: October 16, 2015 @ 6:29am
d