mutakhir

Khianat rosak 6 tokong

Georgetown: Seorang penunggang motosikal dikesan melakukan khianat dengan merosakkan enam tokong di rumah penduduk kampung di Penaga, Kepala Batas dan Telok Air Tawar, dekat sini, kelmarin.

Kejadian itu hanya disedari penduduk jam 6.30 pagi ketika mereka mahu bersembahyang di tokong berhampiran rumah.

Sumber berkata, penduduk yang bimbang dengan keadaan itu membuat laporan polis berhubung kejadian terbabit.

“Penduduk bangun awal pagi untuk bersembahyang sebelum terkejut melihat tokong berhampiran rumah berselerak dan sengaja dirosakkan.

“Ada antara mereka menyedari kejadian itu selepas dimaklumkan jiran yang turut menjadi mangsa apabila tokong di rumah mereka di rosakkan,” katanya.

Sumber berkata, lima kes berlaku di Penaga, Kepala Batas, manakala satu kes lagi berlaku di sebuah rumah seorang kerani perempuan berusia 38 tahun di Telok Air Tawar.

“Polis sudah mengambil keterangan daripada semua penduduk terbabit dan mereka mendakwa tidak mempunyai musuh dan mengesyaki kemungkinan perbuatan itu sengaja dilakukan individu tertentu.

“Selain itu, ada antara mereka mendakwa beberapa jiran yang ketika itu sedang bersenam ternampak seorang lelaki menunggang motosikal sengaja merosakkan tokong terbabit sebelum beredar dalam keadaan tergesa-gesa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Prai Utara Asisten Komisioner Azmi Adam berkata, polis kini masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu dan meminta penduduk tidak bimbang dengan situasi berkenaan.

Menurutnya, pihaknya sedang menjejaki individu yang melakukan perbuatan khianat itu dan akan sentiasa memantau kawasan terbabit.

“Kami percaya individu yang melakukan perbuatan ini kemungkinan tidak waras atau sengaja mahu menimbulkan kekecohan namun polis mempunyai langkah tertentu untuk mencegah perbuatan ini daripada berulang.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 427, Kanun Keseksaan,” katanya.

Disiarkan pada: October 16, 2015 @ 7:16am
d