mutakhir

Golongan berpendapatan rendah nikmati pelbagai peluang #Bajet2016

Kuala Lumpur: “#Bajet2016 terus menjamin peluang dan akses isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) kepada pendidikan tinggi dan latihan kemahiran agar berpeluang memperoleh pekerjaan yang stabil dan lebih baik,” kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga akan fokus untuk menyediakan rumah mampu milik di samping meningkatkan pendapatan, pemilikan kekayaan dan kualiti hidup isi rumah golongan ini.

Beliau berkata, golongan itu mudah terjejas dan memerlukan kestabilan pekerjaan serta peningkatan pendapatan bagi menampung kos pendidikan, kos pemilikan perumahan dan kos sara hidup.

“Bajet 2016 ini penting kerana kedudukan ekonomi global semasa amat mencabar. Tidak dapat dinafikan ketidaktentuan ekonomi global yang kita lihat pada hari ini sedikit sebanyak menjejaskan kedudukan ekonomi Malaysia dan menimbulkan kebimbangan lapisan masyarakat tertentu.

“Kelestarian pendapatan isi rumah penting. Sebab itulah saya menekankan kepentingan ekonomi rakyat,” kata beliau dalam catatan terkini dalam blog NajibRazak.com, semalam.

Najib berkata, kerajaan perlu memastikan ekonomi modal bergiat cergas supaya terus menjana ekonomi rakyat.

Kata beliau, kecerdasan kedua-dua ekonomi terbabit perlu dipertingkatkan untuk membawa negara ini ke arah kedudukan yang lebih tinggi lagi, selaras dengan negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

“Insya-Allah kerajaan memastikan bahawa pertumbuhan ekonomi negara kekal pada landasan yang kukuh lagi stabil melalui beberapa langkah yang akan diumumkan dalam #Bajet2016 pada 23 Oktober ini,” katanya.

Sementara itu, beliau mengemukakan idea yang dikemukakan rakyat melalui kempen berkenaan kepada Kementerian Kewangan untuk penilaian menyeluruh.

Menurutnya, daripada cadangan melalui kempen yang berlangsung sejak 1 hingga 18 September lalu, didapati ramai yang mahu kerajaan membantu meringankan beban harian terutamanya mereka yang berpendapatan rendah.

“Selain itu, ramai juga menyuarakan pandangan mengenai harga kos rumah yang tinggi sehingga di luar kemampuan.

“Terdapat juga cadangan meminta kerajaan untuk meningkatkan rangkaian pengangkutan awam di Kuala Lumpur dan Lembah Klang, malah kerajaan disaran untuk melabur di dalam projek KTM (Keretapi Tanah Melayu) atau LRT (Sistem Transit Aliran Ringan) yang baru di pusat bandar di negeri lain,” katanya.

Disiarkan pada: October 16, 2015 @ 8:57am
d