mutakhir

'Besi buruk' cemar imej

Oleh Umar Mohd Tawil

Petaling Jaya: Operasi besar-besaran bagi mengalihkan kenderaan buruk dijalankan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di beberapa lokasi ‘panas’ yang dikenal pasti mengganggu imej persekitaran.

Operasi berkenaan dijalankan setiap hari oleh Jabatan Penguatkuasaan dan Jabatan Kejuruteraan merangkumi kawasan seperti PJS1-10, SS2, SS3, SS7, SS9A, SS20, S21, SS22, SS24, BU6, BU11, PJU10, PJU1A, PJU7, PJS1, SD1, SD5, SD9, Seksyen 6 dan Seksyen 11 Kota Damansara.

Datuk Bandar MBPJ, Mohd Azizi Mohd Zain berkata, operasi berkenaan dijalankan selepas pihaknya menerima banyak aduan orang awam yang mendakwa terdapat deretan kereta buruk terbiar di kawasan kediaman masing-masing hingga ada yang menjadi lokasi pembiakan nyamuk aedes.

Menurutnya, pihaknya sentiasa peka untuk menjaga keselamatan dan keselesaan orang ramai serta mengambil perhatian aduan dibuat.

Katanya, sepanjang tahun lalu, pihaknya menerima 425 aduan berhubung kenderaan buruk dan terbiar serta tahun ini jumlah aduan meningkat kepada 510 aduan.

Beliau berkata, pihaknya mendapati ada juga kenderaan diletakkan lama di petak letak kereta awam dalam tempoh melebihi enam bulan.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Disiarkan pada: October 16, 2015 @ 9:37am
d