mutakhir

1,752 PATI bayar RM30j

Oleh Norizuan Shamsuddin

Kuala Lumpur: Seramai 1,752 pendatang tanpa izin (PATI) dari Bangladesh sanggup membayar sindiket ‘3 negara’ wang berjumlah RM30 juta semata-mata mahu menyelinap masuk ke Malaysia.

Perkara itu didedahkan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar hasil kejayaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melumpuhkan rangkaian sindiket penyeludupan manusia ke negara ini menerusi jalan laut di sekitar Negeri Sembilan dan Selangor.

Difahamkan sindiket tempatan itu mempunyai rantaian kerjasama dengan sindiket penyeludupan manusia di Bangladesh dan Indonesia bagi memudahkan tugas mereka.

Semua 1,752 PATI Bangladesh itu dikesan diseludup masuk ke negara ini dalam tempoh 13 bulan sejak Ogos tahun lalu.

Khalid berkata, pihaknya menahan 64 individu membabitkan sekumpulan warga tempatan, Bangladesh dan Indonesia hasil operasi dijalankan sejak 13 Ogos lalu.

“Pihak polis turut merampas wang tunai berjumlah RM23,100, empat kenderaan, 46 pasport Bangladesh, 55 telefon bimbit, rantai besi, rotan dan buku catatan.

“Hasil soal siasat dilakukan mendapati seramai 18 daripada 64 individu ditahan itu anggota sindiket penyeludupan manusia. Seramai 13 individu warga tempatan, empat warga Bangladesh dan seorang warga Indonesia,” katanya.

Menurutnya, 18 individu ‘penting’ itu berperanan sebagai ejen, tekong darat, pemandu kenderaan serta penjaga rumah.

“Manakala baki 46 yang lain adalah PATI daripada Bangladesh yang diseludup menggunakan laluan laut dari Dumai, Indonesia.

“Semua ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA 2012) dan disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIP-SOM 2007),” katanya.

Khalid turut memaklumkan, 46 PATI bersama seorang ahli sindiket warga Bangladesh dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 26 September lalu mengikut Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia tanpa memiliki dokumen yang sah dan semua mereka mengaku bersalah dan dikenakan hukuman penjara enam bulan sebelum dihantar pulang ke negara masing-masing.

Katanya, enam rakyat Malaysia dan dua warga Bangladesh lagi akan dituduh didakwa ATIP-SOM 2007 atas pelbagai kesalahan.

Disiarkan pada: October 17, 2015 @ 7:09am
d