mutakhir

Pangsapuri port 'lapah' motosikal curi

Sekumpulan penjenayah dikesan menjadikan kediaman pangsapuri disewa sebagai ‘bengkel’ khas menyembunyikan puluhan motosikal curi untuk dilapah.

Suspek didakwa menceraikan komponen motosikal dicuri itu sebelum dijual semula kepada ‘golongan [’mat rempit’ dan di pasaran gelap.

Taktik itu bagaimanapun terbongkar apabila polis menahan 15 suspek dalam beberapa siri serbuan sejak Selasa lalu.

Polis turut menemui puluhan kotak berisi komponen, rangka dan enjin motosikal yang sudah dileraikan di pangsapuri di Desa Mentari di sini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, sindiket itu dianggotai lelaki berusia 20 hingga 30-an itu dikesan aktif sejak beberapa bulan lalu.

“Hasil soal siasat polis membawa kepada penahanan 10 lagi suspek di sekitar daerah Petaling Jaya,” katanya.

Semua suspek kini ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: October 17, 2015 @ 7:28am
d