mutakhir

Besi pembunuh

Oleh Yahya Awang

Taiping: Seorang lelaki maut, manakala seorang parah apabila kereta yang mereka naiki dihempap muatan besi yang terjatuh dari sebuah treler yang terbabas di Batu 16, Jalan Taiping-Sitiawan di Trong, dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 10 malam, pemandu kereta, V M Muniandy, 44, pekerja kontrak Ladang Taiping Rubber Plantation (TRP) Trong, maut di tempat kejadian, manakala rakannya, M Gopi, 36, dari Taman Kota, Simpang, cedera parah dan dihantar ke Hospital Taiping (HT) untuk rawatan.

Ketua Polis Daerah Taiping Asisten Komisioner Harrith Kam Abdullah berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila treler membawa muatan besi padu dari arah Taiping terbabas ketika melalui selekoh tajam lalu melanggar penghadang jalan dan terbalik ke laluan bertentangan.

“Kejadian itu mengakibatkan muatan dibawa terjatuh dan menghempap kereta Proton Saga dinaiki mangsa yang datang dari arah Sitiawan.

“Siasatan awal mendapati treler itu membawa muatan berlebihan daripada sepatutnya, mengakibatkan ia mudah terjatuh apabila hilang kawalan dan terbabas,” katanya di sini semalam.

Harrith Kam berkata, berikutan kejadian itu, kereta yang dinaiki mangsa remuk teruk, sementara pemandu treler yang berusia 55 tahun hanya cedera ringan dan mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.03 malam dan sebaik tiba di tempat kejadian berhampiran kawasan air terjun Trong, kereta yang dinaiki mangsa kemek akibat dihempap muatan besi.

Disiarkan pada: October 17, 2015 @ 7:40am
d