mutakhir

Alasan bodoh tangkap biawak

Oleh Hai Rozzaman Jalal

Ledang: Berang dengan alasan tidak masuk akal diberikan dua lelaki, penduduk kampung membelasah mereka selepas ditangkap kerana disyaki menceroboh sebuah rumah di Kampung Parit Zing, Bukit Gambir di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 6 petang itu, kedua-dua suspek berusia 30-an itu diikat dengan wayar elektrik sebelum dibelasah beramai-ramai kerana memberikan alasan tidak munasabah selepas ditangkap berada dalam rumah seorang penduduk.

Penduduk yang enggan dikenali berkata, sekumpulan lebih 20 penduduk mengepung rumah berkenaan selepas dimaklumkan terdapat dua individu tidak dikenali berada di dalamnya.

Menurutnya, penduduk mengambil tindakan itu selepas melihat suspek berlegar-legar di kawasan luar pagar rumah berkenaan dengan membawa keluar sebuah periuk besar.

“Terdapat beberapa kesan mencurigakan ditemui di rumah yang diceroboh itu termasuk pagar tepi dan kabel elektrik yang dipotong.

“Lelaki itu panik sebaik menyedari penduduk mengepung kawasan rumah itu dan cuba melarikan diri, namun gagal apabila berjaya ditangkap dan diserahkan kepada polis,” katanya.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati beberapa alat pendingin hawa dan barangan lain termasuk periuk besar dalam rumah berkenaan hilang dipercayai angkara perbuatan suspek.

Menurutnya, selepas ditangkap, lelaki itu memberi alasan tidak masuk akal konon mahu menangkap biawak dalam rumah berkenaan menyebabkan penduduk yang berang terus membelasahnya beramai-ramai.

Katanya, sudah banyak kali berlaku kejadian rumah penduduk yang tidak berpenghuni dipecah masuk dengan banyak barangan berharga hilang dilarikan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ledang Superintendan Mohd Salleh Abd Razak ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Disiarkan pada: October 17, 2015 @ 7:42am
d