mutakhir

YBK Peduli! bantu si miskin

Oleh Nur Lela Zulkipli

Kuala Lumpur: Proses aduan dan penyaluran bantuan untuk golongan memerlukan kini boleh dilaksanakan dengan lebih mudah serta efisien melalui aplikasi dalam talian YBK Peduli!.

Aplikasi yang dilancarkan Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) semalam berperanan menjadi platform bagi orang awam melaporkan serta menyampaikan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Pengerusi YBK Datuk Zainal Abidin Sakom berkata, aplikasi itu antara usaha berterusan pihaknya bagi meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap mereka yang masih memerlukan bantuan untuk terus hidup.

“Melalui aplikasi ini juga, sesiapa saja boleh membabitkan diri dalam usaha murni dengan lebih mudah berbanding perlu mengisi borang dan sebagainya.

“Jabatan berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Lembaga Zakat setiap negeri turut mempunyai akses kemasukan ke dalam aplikasi untuk menilai dan menerima kes yang diadukan pengguna,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media majlis Pelancaran Aplikasi YBK Peduli! yang dilaksanakan bersempena Hari Pembasmian Kemiskinan Sedunia, di sini, semalam.

Menurut Zainal Abidin, beliau yakin kadar kemiskinan dalam negara akan mencapai tahap sifar sekiranya semua pihak bekerjasama menyalurkan maklumat berkenaan golongan memerlukan.

“Kes kemiskinan di Malaysia berjaya dikurangkan kepada 0.6 peratus pada tahun lalu berbanding 1.7 peratus pada 2012 dan pencapaian ini jauh lebih baik berbanding India, China serta kebanyakan negara di rantau ini.

“Melalui aplikasi YBK Peduli!, jangka masa untuk melaksanakan tindakan kepada golongan memerlukan juga akan menjadi lebih singkat iaitu hanya seminggu untuk bantuan tiba.

“Kita jangkakan menerima 100 pengguna baru yang mendaftar dalam YBK Peduli! sekali gus menjadikan mereka sukarelawan YBK untuk membantu membasmi kemiskinan,” katanya.

Disiarkan pada: October 18, 2015 @ 9:16am
d