mutakhir

Pengantin Metro

Oleh Salman Hamat

Melaka: Kerana mahu mencari kelainan, pasangan pengantin Abdul Mua’az Baharuddin, 25, dan Siti Sarah Nor Azman, 24, menggunakan logo akhbar Harian Metro pada kad jemputan majlis persandingan mereka.

Selain menggunakan logo akhbar itu, susun atur pada kad jemputan majlis persandingan pasangan itu juga amat menarik yang menggambarkan seolah-olah ia berita muka depan akhbar Harian Metro.

Siti Sarah, bertugas sebagai jururawat di sebuah pusat perubatan swasta di Melaka berkata, keputusan menggunakan kad jemputan dengan logo Harian Metro dipersetujui oleh ahli keluarga, terutama bapanya yang juga pembaca setia akhbar ini.

“Beberapa bulan sebelum majlis persandingan, saya buntu kerana tidak selesa dengan puluhan sampel kad perkahwinan yang dicadangkan oleh kakitangan sebuah syarikat pencetakan.

“Namun, ketika membelek Harian Metro saya berasa mahu mencuba kelainan dengan menggunakan logo akhbar ini, cadangan itu juga dipersetujui bapa dan bakal suami ketika itu sebelum membuat susun atur dan mencetak lebih 3,000 kad untuk diedarkan kepada jemputan,” katanya.

Dia ditemui selepas majlis persandingan di Padang Petong, Jawatankuasa Penyelaras dan Pembangunan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Pantai Kundur, Kampung, Gelam, Tanjung Kling, semalam.

Disiarkan pada: October 18, 2015 @ 9:29am
d