mutakhir

Tinggal kesan positif

Kuala Lumpur: Bukan mudah untuk menyesuaikan suara pelakon dengan watak animasi, sekali gus meninggalkan kesan positif dalam kalangan penonton.

Pengarah Urusan Les’Copaque Production Sdn Bhd Burhanuddin Md Radzi berkata, banyak cabaran dilalui sepanjang pembikinan Upin dan Ipin sehingga siri animasi itu mencapai populariti luar biasa hari ini.

“Cabaran paling besar adalah memastikan suara yang dilontar pelakon tidak dibuat-buat, berpadanan dengan watak serta menghidupkan suasana.

“Di Les’Copaque, kita biasanya akan buat uji bakat untuk tentukan kesesuaian suara dengan watak. Kita tidak mahu pelakon suara yang hanya membaca skrip, tetapi mencari yang mampu menghidupkan watak,” katanya.

Memandangkan kualiti produk menjadi keutamaan katanya, pembikinan siri animasi dimulakan dengan sesi rakaman lakon suara.

“Kebiasaannya, memang kita buat suara dulu. Kemudian kita akan susun dan dengar sehingga semua bahagian kedengaran sempurna.

“Selepas itu, barulah proses pembikinan animasi dimulakan,” katanya.

Menurut Burhanuddin, industri lakon suara di negara ini masih ketinggalan berbanding negara luar yang mampu menghasilkan pelbagai watak dari seorang pelakon.

“Untuk menghasilkan dialog Mei Mei umpamanya, kita perlu cari pelakon suara berbangsa Cina, tetapi pandai berbahasa Melayu dalam nahu yang betul.

“Manakala watak Ah Tong dan Muthu pula haruslah pandai menggunakan lenggok orang dulu-dulu,” katanya.

Hasil kerja keras Burhanuddin bersama warga Les’Copaque, Upin dan Ipin terus popular dan menjadi fenomena di Indonesia.

“Kami bangga apabila jenama Upin Ipin berjaya dikembangkan daripada pelbagai sudut.

“Malah, siri Upin dan Ipin kian popular selepas dibeli stesen Disney Channel di luar negara seperti India, Singapura, Indonesia, Filipina dan beberapa negara Asia yang lain,” katanya.

Disiarkan pada: October 20, 2015 @ 8:44am
d