mutakhir

Undang-undang atasi jerebu

Kuala Lumpur: Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar sedang mengkaji kemungkinan menggubal undang-undang bagi membolehkan Malaysia mengambil tindakan terhadap Indonesia, sekiranya jerebu berpunca dari negara berkenaan.

Menterinya Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, antara halangan dihadapi negara ketika ini ialah kurangnya undang-undang berkaitan dan keengganan Indonesia untuk mempercepatkan proses pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) yang dicadangkan kedua-dua negara.

Katanya, pihak berkuasa Indonesia belum bersetuju menandatangani MoU itu yang akan menjadikan syarat di bawah perjanjian terbabit sah di sisi undang-undang.

“Saya sudah jumpa Peguam Negara (Tan Sri Mohamed Apandi Ali) bulan lalu untuk bincang kemungkinan menggubal undang-undang baru bagi memastikan Indonesia akan mengambil tindakan perlu untuk menghentikan pencemaran jerebu daripada berulang,” katanya dalam jawapan lisan di Dewan Rakyat di sini, semalam.

Beliau menjawab soalan Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad (BN-Kuala Kangsar) yang mahu tahu langkah-langkah Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dalam isu jerebu.

Ahli Parlimen Santubong itu berkata, meskipun Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (AATHP) ditandatangani semua 10 negara anggota ASEAN pada 10 Jun 2002 di Kuala Lumpur, namun ia tidak terikat menyebabkan kementeriannya terpaksa menuntut ratifikasi terhadap AATHP.

Disiarkan pada: October 20, 2015 @ 10:07am
d