mutakhir

Ambil kisah kesan pembakaran hutan

Pengalaman selama tujuh hari membuat liputan jerebu di Wilayah Riau, Indonesia baru-baru ini menyebabkan saya terfikir sudah tiba masanya untuk kita mengubah minda dan mendidik masyarakat bukan saja di Indonesia, sebaliknya seluruh negara rantau Asia Tenggara.

Masyarakat rantau ini memiliki sikap tidak kisah melakukan pembakaran hutan atas nama pertanian kerana kaedah kuno itu dianggap paling murah dan mudah untuk membersihkan tapak bagi membuka ladang tanaman komoditi, terutama kelapa sawit.

Mengubah minda dan mendidik dilihat sebagai langkah terbaik kepada masalah jerebu berbanding merangka pelan tindakan berikutan pertemuan diatur dalam kalangan wakil kerajaan dan pemimpin negara terbabit sendiri, sebelum ini tidak membuahkan hasil yang benar-benar mampu untuk menyelesaikan jerebu yang dianggap sebagai bencana rentas sempadan.

Memang benar amat sulit untuk mencari penyelesaian dalam tempoh singkat kerana membabitkan kajian terperinci pelbagai aspek, kerenah birokrasi, selain batasan undang-undang dan kesukaran untuk mencapai persefahaman antara pemerintah negara yang terjejas akibat jerebu.

Namun atas semangat ASEAN semua negara perlu memberikan komitmen untuk menyelesaikan permasalahan ini, tidak wajar menyalahkan Indonesia semata-mata atas apa yang berlaku.

Boleh saya andaikan jerebu sebenarnya adalah kemarahan alam atas perbuatan rakus manusia apabila pihak berkuasa Indonesia berhadapan cabaran untuk memadamkan kebakaran.

Ini kerana kedudukan titik panas yang bertaburan pada keluasan hutan yang mencecah ribuan hektar, kesukaran meramal lokasi bara yang merebak melalui bawah tanah gambut, cuaca kering akibat fenomena El Nino dan kepayahan mendapatkan bekalan air secara berterusan sekali gus membantutkan tempoh operasi pemadaman dijalankan.

Batasan kemampuan itu menyebabkan pasukan keselamatan hanya melakukan kerja pemadaman berdasarkan tompokan bara yang dilihat pada mata kasar dan bukannya punca sebenar api, iaitu bara yang merebak di bawah lapisan tanah gambut.

Keadaan itu menyebabkan kawasan hutan yang sama kembali terbakar walaupun pada hari sebelumnya anggota keselamatan terbabit sudah mengerahkan segala tenaganya dengan harapan kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya.

Padam sambil didik

Seorang seorang pegawai kanan Tentera Nasional Indonesia - Angkatan Darat (TNI-AD) yang ditemui berkata, dia bukan hanya ditugaskan memadam, sebaliknya menyedarkan masyarakat mengenai kesan kebakaran membabitkan tanah gambut yang amat sukar dipadamkan, dikawal dan boleh memusnahkan ribuan hektar kawasan hutan secara senyap.

Kesungguhan pegawai itu untuk membantu meredakan jerebu bukan setakat mengkoordinasikan operasi pemadaman, malah dia terpaksa turun padang untuk menasihat dan membuat perjanjian dengan penduduk tempatan agar menghentikan buat sementara waktu sebarang pembakaran terbuka walaupun ia sekadar membakar daun kering dalam kawasan halaman rumah.

Kebakaran yang berulang pada lokasi sama menyebabkan anak buahnya terpaksa bertugas 24 jam sehari dan mengerahkan seluruh tenaga untuk memadamkan kebakaran berikutan kaedah moden seperti pengeboman air atau ‘water bombing’ menggunakan helikopter dilihat tidak banyak membantu dan hanya memadamkan api pada bahagian permukaan lantai hutan dan bukan bara di bawah tanah gambut.

Ketika meninjau usaha pemadanan api di Kampar, saya dapat melihat dengan jelas wajah anggota pasukan keselamatan yang keletihan dan lesu kerana ada antara mereka ditugaskan untuk membantu operasi pemadaman sejak hampir tiga bulan dan langsung tidak pulang menjenguk keluarga di rumah.

Bermandi peluh, memikul kelengkapan memadam kebakaran, cuaca yang panas dan diselubungi asap setiap hari adalah cabaran utama ditempuh anggota keselamatan republik itu, namun moral yang tinggi menyebabkan mereka terus bersemangat menjalankan tugas yang diamanahkan.

Musibah melanda turut menyatukan penduduk di wilayah itu.

Ini boleh dilihat operasi pemadaman membabitkan anggota polis tentera dan pihak berkuasa lain seperti sukarelawan dalam kalangan penuntut universiti dan pertubuhan bukan kerajaan, Persatuan Kenderaan Pacuan Empat Roda Indonesia (IOF) yang sebelum ini aktif dalam menghulurkan bantuan ketika bencana alam termasuk tsunami di Acheh.

Ubah minda

Sekali lagi saya menekankan mengenai perihal mengubah minda dan mendidik masyarakat, kerana dalam perjalanan dari Dumai ke Pekanbaru, saya dapat melihat segelintir penduduk yang melakukan pembakaran terbuka membabitkan tandan kelapa sawit yang sudah diproses walaupun langit di kawasan itu ditutupi kabus yang pekat dan jarak pemandangan yang terhad.

Pihak berkuasa wilayah itu juga sudah memainkan peranan mereka dengan memasang papan tanda yang memberi amaran dan meminta kerjasama masyarakat setempat menghentikan sementara pembakaran terbuka.

Disebabkan minda yang sukar diubah masih ada pihak yang degil walaupun ketika itu wilayah berkenaan diisytiharkan di bawah perintah darurat.

Selain minda yang sukar diubah mungkin penduduk di kawasan berkenaan sudah lali dengan jerebu yang melanda setiap tahun, hinggakan ada antara mereka dengan selamba melakukan aktiviti di luar rumah tanpa memakai topeng walaupun bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) ketika itu berada pada paras berbahaya hingga menyebabkan sekolah dan universiti ditutup atas faktor kesihatan murid dan pelajar.

Bagi saya, pihak berkuasa Indonesia ada mengambil pelbagai langkah dalam membendung kebakaran hutan yang menyebabkan jerebu, malah penguatkuasaan juga diambil terhadap pemain utama sektor perladangan tempatan dan antarabangsa, pemilik kebun persendirian dan orang perseorangan yang melakukan pembakaran terbuka.

Bagaimanapun, adakah usaha ini mencukupi atau perlu mengambil langkah lebih drastik, termasuk menerima cadangan dari negara rantau Asia Tenggara seperti Malaysia dan Singapura.

Penulis Ketua Biro Harian Metro Melaka

Disiarkan pada: October 20, 2015 @ 12:28pm
d