mutakhir

Program gabung pengguna, peniaga

Kuala Lumpur: Perbelanjaan secara berhemah, menangani kos sara hidup, pengurusan kewangan serta beberapa elemen lain menjadi fokus utama sempena Hari Pengguna Kebangsaan 2015 dan Kempen Cintai Buatan Malaysia yang bermula Jumaat hingga Ahad ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Hamzah Zainuddin berkata, kedua-dua acara penting membabitkan pengguna itu berlangsung di Dataran Merdeka sekali gus mampu memuatkan ramai pengunjung untuk satu-satu masa.

“Sempena dua acara itu, kita memilih elemen itu kerana ia membabitkan pelbagai golongan sasar terdiri dari pelajar sekolah, institusi pengajian tinggi (IPT), golongan kurang upaya, wanita dan pelbagai peringkat mesej dapat disampaikan secara kolektif dan holistik.

“Dua acara itu kombinasi program utama di bawah KPDNKK yang menggabung dua elemen penting di dalam perniagaan iaitu pengguna dan peniaga,” katanya sempena Majlis Pra-Pelancaran Hari Pengguna Kebangsaan 2015 dan Kempen Cintai Buatan Malaysia, di sini, semalam.

Hamzah berkata, gabungan program itu menunjukkan peranan penting KPDNKK dalam usaha mengawal selia sektor perdagangan dalam negeri dan memastikan hak pengguna sentiasa terpelihara.

“Dasar pengguna negara juga menggariskan matlamat ke arah pemerkasaan pengguna yang mampu melaksanakan perlindungan kendiri, proaktif dan rasional serta peniaga melakukan kawal selia sendiri.

“Dalam keadaan itu, kerajaan pula bertindak sebagai pemudah cara dan menjadi rangkaian hubungan ketiga-tiga pihak, sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi dan menyediakan suasana pasaran kondusif,” katanya.

Menurutnya, kerajaan juga berusaha mewujudkan masyarakat pengguna yang berdaya upaya serta memacu pasaran serta ekonomi ke arah negara maju.

Katanya, usaha pemerkasaan pengguna itu juga perlu diteruskan kerana tahap keupayaan pengguna di negara ini hanya 52.6 peratus.

“Dalam acara ini juga, kita terus mempromosikan kempen membeli barangan Malaysia yang dilancarkan pertama kali pada 2009 dan tujuan utama menggerakkan ekonomi dalam negeri.

“Kami juga terus menyemarakkan semangat menyokong produk buatan Malaysia dengan membeli produk keluaran kita dan masyarakat kita seharusnya mencontohi patriotisme ditunjukkan masyarakat Jepun dan Korea Selatan.

“Dalam majlis ini juga, kami memberi pengiktirafan menerusi Anugerah Skuad Pengguna Terbaik dan penerimanya individu atau kumpulan penggerak kepenggunaan aktif di seluruh negara mewakili kumpulan masing-masing.

Sempena program itu juga, pelbagai aktiviti diadakan antaranya penyampaian Anugerah Tokoh Pengguna, aktiviti kerohanian iaitu Malam Cinta Rasul, Larian ‘Friends of KPDNKK’ Fun Run, Konsert Suara Pengguna dan pelbagai lagi.

Disiarkan pada: October 21, 2015 @ 9:12am
d