mutakhir

Penjejak haiwan perosak kebun

Jasin: Terlantar di hospital selama sebulan selepas disengat tebuan tanah pada November lalu tidak mematahkan semangat penjejak babi hutan, Koh Eng Le, 52, dalam membantu pihak berkuasa memburu haiwan perosak itu.

Dia yang lebih dikenali sebagai Ah Kong secara sukarela menawarkan kepakaran dimiliki membantu Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) memburu babi hutan dalam operasi khasnya sekitar Tampin dan Alor Gajah.

Menceritakan pengalamannya, Ah Kong berkata, sebelum kejadian dia sedang meneliti tapak kaki haiwan berkenaan, namun keadaan bertukar menjadi cemas selepas anjing pemburu miliknya melanggar sarang tebuan tanah.

“Saya hanya sempat berlari sejauh beberapa meter sebelum terjatuh dan pengsan. Ketika sedar saya sudah berada di wad Hospital Melaka dan terpaksa menjalani rawatan susulan untuk membuang bisa di dalam darah.

“Doktor memaklumkan terdapat lebih 160 kesan sengatan pada seluruh badan. Kejadian itu menyebabkan saya menjadi lebih berhati-hati ketika menyertai operasi memburu babi hutan,” katanya.

Dia berkata, pembabitannya dalam operasi memburu babi hutan bermula sejak berusia 17 tahun dan dia antara pemburu berlesen yang kerap dipanggil PERHILITAN atau pemilik kebun untuk menjejak haiwan perosak terbabit.

“Bukan mudah menjejak haiwan yang sentiasa bergerak dan aktif terutamanya pada waktu malam. Berikutan itu, saya perlu peka dengan tanda ditinggalkan babi hutan selain dibantu anjing pemburu untuk mengenal pasti sarangnya.

“Tembakan yang dilepaskan kena pada sasaran atau tidak menjadi perkara kedua, paling utama ketika memburu adalah menjaga keselamatan diri terutamanya bagi mengelakkan daripada disondol haiwan itu,” katanya.

Ah Kong berkata, setiap kali keluar untuk memburu, dia akan membawa bersama 10 anjingnya bagi memudahkan lagi usahanya mengesan sarang babi hutan.

Menurutnya, minatnya itu juga membolehkan dia menjana pendapatan sampingan apabila babi hutan yang dibunuh dijual kepada warga asing yang amat menggemari daging haiwan itu.

“Dengan tawaran harga hanya RM80 untuk seekor babi hutan seberat 200 kilogram (kg) ramai warga asing yang mahu membeli haiwan itu untuk dijadikan hidangan istimewa mereka,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pegawai Hidupan Liar Unit Kawalan Hidupan Liar Jabatan PERHILITAN Fadlilah Amirullah Mohamed berkata, pihaknya kerap mendapatkan khidmat pemburu berlesen untuk membantu operasi yang dijalankan.

“Kawasan operasi agak luas menyebabkan kami memerlukan pemburu berlesen dalam jumlah yang ramai. Kami juga mempunyai strategi dan meletakkan pemburu berlesen di lokasi tertentu bagi mengepung laluan babi hutan, sekali gus mengelakkan haiwan itu terlepas.

“Kami memerlukan sekurang-kurangnya enam pemburu berlesen bagi kawasan berkeluasan satu hektar bagi memastikan operasi berjaya dan tidak pulang dengan tangan kosong,” katanya.

Disiarkan pada: October 21, 2015 @ 9:28am
d