mutakhir

Terus bagi kompaun

Oleh Siti Fatimah Hassan

Kuala Lumpur: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mengeluarkan tiga kompaun terhadap pihak yang bertanggungjawab membuang kicap serta makanan tamat tempoh secara haram sejak dua bulan lalu di Kampung Bahagian Bukit Ladong, Sungai Buloh.

Pegawai Perhubungan Awam MPS Mohd Zain Masoad berkata, kompaun itu, masing-masing RM1,000 itu dikeluarkan atas kesalahan membuang sampah di tempat awam mengikut Seksyen 4, Undang-Undang Kecil Pungutan dan Pelupusan Sampah MPS 2007 dan Akta Kerajaan Tempatan 70 (b).

Katanya, MPS turut menyita sebuah lori yang membuang sampah di kawasan itu, termasuk membuat hadangan di kawasan terbabit untuk mengelak pihak tidak bertanggungjawab terus melakukan kerja haram berkenaan.

“Kita terus mengeluarkan kompaun terhadap pihak yang membuang kicap serta makanan tamat tempoh itu atas kesalahan membuang sampah di tempat awam.

“Pada masa sama, kita mengambil tindakan segera membersihkan kawasan terbabit dan meletakkan penghadang bagi mengelakkan lori itu terus masuk,” katanya, semalam.

Harian Metro semalam melaporkan, keluhan kira-kira 200 penduduk kampung itu yang terpaksa menahan bau busuk dan ‘banjir kicap’ apabila kawasan perkampungan mereka menjadi lokasi pelupusan kicap dan barang makanan tamat tempoh.

Antara barangan yang dibuang di situ termasuklah sos, makanan dalam tin, minyak masak, mentega dan sisa bahan binaan.

Mohd Zain berkata, sejak awal bulan ini, pihaknya sudah menyita 21 lori yang membuang sampah secara haram di beberapa tapak pelupusan sampah.

Katanya, pihaknya juga tidak teragak-agak untuk bertindak tegas jika pihak terbabit masih berdegil.

“Tindakan paling keras yang kita boleh ambil ialah dengan mengheret mereka ke mahkamah jika didapati masih melakukan kesalahan sama,” katanya.

Disiarkan pada: October 21, 2015 @ 9:40am
d