mutakhir

BR1M terus dinanti

Oleh Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur: Antara intipati utama yang sentiasa ditunggu-tunggu rakyat sejak pembentangan Bajet sudah semestinya Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang diperkenalkan sejak Januari 2012.

Secara keseluruhan dari tahun pertama ia dilaksanakan, kerajaan memperuntukkan RM9.76 bilion dan memberi manfaat kepada rakyat mengikut kumpulan sasaran.

Pada pembentangan Bajet 2016 yang akan diumumkan Jumaat ini, menjadi tanda tanya kepada pelbagai pihak mengenai adakah peruntukan itu ditingkatkan berbanding tahun lalu memandangkan ketika ini negara berdepan dengan pelbagai cabaran ekonomi.

Penganalis Ekonomi dan Pensyarah Pelawat Institut Asia-Eropah Universiti Malaya, Dr Jorah Ramlan berkata, BR1M perlu diteruskan memandangkan objektifnya bagi membantu golongan berpendapatan rendah terutama ketika ini terdapat banyak penyelidikan yang dijalankan mendapati 40 peratus populasi rakyat Malaysia mempunyai pendapatan kurang RM2,500 sebulan.

Beliau berkata, peruntukan BR1M dilihat meningkat dari tahun ke tahun memandangkan terdapat peningkatan kos sara hidup yang meningkat sekali gus membantu meringankan rakyat berpendapatan rendah.

“Saya jangkakan pada Bajet 2016, BR1M ditingkatkan peruntukannya lebih tinggi dari tahun ini. Namun, dari segi peningkatan golongan sasar berkemungkinan tidak diperluaskan memandangkan jumlah golongan sasar sedia ada ini juga meningkat antaranya individu bujang.

“Daripada segi kebaikan lain, BR1M dapat memaksimumkan perbelanjaan pengguna dan juga bukan saja dari segi golongan penerima tetapi pengeluar domestik terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya.

Daripada segi peningkatan BR1M kepada penerima mengikut isi rumah juga meningkat dari tahun ke tahun iaitu bermula dari RM500 kepada RM650 sehingga RM950 pada tahun ini yang mana pemberian dilaksanakan secara sekali gus pada tahun pertama dilaksanakan dan berperingkat pada tahun kedua dan ketiga.

Dr Jorah berkata, pemberian BR1M memberi manfaat kepada pemain perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terutama pengeluar barangan domestik memandangkan terdapat peningkatan kuasa beli dalam satu tempoh jangka masa tertentu.

Katanya, seperti yang diketahui umum, PKS di Malaysia lebih 90 peratus dan golongan berkenaan yang selalunya menerima kesan langsung sekiranya terdapat pertumbuhan sihat atau gangguan dalam rantaian ekonomi domestik.

“Jika melihat kepada laporan ekonomi negara menunjukkan perbelanjaan pengguna adalah salah satu faktor boleh meningkatkan ekonomi negara dan ia juga merujuk kepada peningkatan perniagaan di kalangan pengeluar produk yang menjadi satu rantaian penting untuk pertumbuhan negara.

“Ini kerana golongan yang menjadi pengeluar akan dapat menentukan yang barangan mereka mendapat permintaan dan pengguna pula dengan bantuan BR1M akan dapat membeli barangan. Ia secara tidak langsung dapat membantu golongan peniaga seterusnya meningkatkan pendapatan negara,” katanya.

Beliau berkata, ketika ini indeks harga pengguna dilihat meningkat dan indeks harga pengeluar menurun sekali gus memberi manfaat kepada pengguna untuk menikmati penurunan harga di pasaran.

“Penerima BR1M dilihat dapat mengambil kesempatan ke atas penurunan kos ini untuk berbelanja dan pihak berkuasa terutama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sentiasa memantau mengenai prestasi harga barangan semasa,” katanya.

Mengimbas kembali pengenalan BR1M pada 2012 yang menerima peruntukan sebanyak RM2.16 bilion membabitkan agihan bantuan RM500 kepada setiap isi rumah berpendapatan RM3,000 sebulan ke bawah, ia dimanfaatkan oleh 4.3 juta isi rumah yang mana pemberian bantuan itu bermula pada 2013.

Manakala, pada 2013 telah dilaksanakan buat kali kedua dengan dikenali sebagai BR1M 2.0 membabitkan peruntukan RM3 bilion yang memberi manfaat kepada 4.3 juta isi rumah serta 2.7 juta individu bujang berumur 21 tahun ke atas yang berpendapatan tidak lebih RM2,000 sebulan menerima bantuan RM250 bermula 2014.

Seterusnya, pada 2014, kerajaan memperuntukkan RM4.6 bilion BR1M yang memberi manfaat kepada hampir 7.9 juta penerima meliputi 4.63 juta isi rumah dan 2.4 juta individu bujang.

Pemberian BR1M kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah dinaikkan daripada RM500 kepada RM650. Manakala bagi individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas yang berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan, nilai bantuan dinaikkan daripada RM250 kepada RM300.

Sebagai tambahan, buat kali pertamanya, BR1M 3.0 diperluaskan kepada isi rumah yang berpendapatan bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000 dengan nilai bantuan RM450.

Disiarkan pada: October 21, 2015 @ 9:42am
d