mutakhir

SPAN sasar purata air tidak berhasil turun 25 peratus

Kota Bharu: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menyasarkan penurunan kadar purata air tidak berhasil (NRW) sebanyak 25 peratus menjelang lima tahun lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif SPAN Mohd Ridhuan Ismail berkata, pada masa ini sasaran itu masih sukar diperoleh terutama apabila beberapa negeri masih menunjukkan kadar NRW tahap lebih 60 peratus dan dalam pemerhatian pihaknya.

“Sehingga Mac lalu, bahagian Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan mengalami kehilangan air yang dirawat dan tidak memberi pulangan hasil 33.6 peratus.

“Kadar NRW Kelantan pula pada kadar 52.1 peratus bersamaan kerugian 234 juta liter sehari,” katanya selepas merasmikan Seminar Kontraktor Tukang Paip Negeri Kelantan 2015, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Operasi Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Timur Maliki Endut dan Pengurus Besar Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) Mohamad Hanapi Mahmud.

Seramai 200 peserta mengikut seminar itu yang dianjurkan bersama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), ABM Wilayah Timur, AKSB dan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Kelantan.

Ia bertujuan mendedahkan peserta dan memberi panduan mengenai keperluan semasa mengikut akta, kaedah dan peraturan berkaitan pembinaan, khususnya dalam industri perkhidmatan bekalan air dan pembetungan.

Mohd Ridhuan berkata, antara faktor menyebabkan berlakunya NRW adalah penggunaan produk yang tidak mencapai standard dan mutu kerja tidak mematuhi spesifikasi.

Berikutan itu, katanya, penting bagi pembekal produk, kontraktor serta tukang paip bertanggungjawab dan memainkan peranan masing-masing supaya masalah itu diatasi.

“Saya yakin dan percaya industri air negara akan berkembang maju dengan komitmen ditunjukkan semua pihak,” katanya.

Disiarkan pada: October 21, 2015 @ 9:46am
d