mutakhir

Jatuh motor leka lihat api

Georgetown: “Kerana terlalu panik mahu ke lokasi kebakaran, saya terjatuh dalam longkang. Mujur tidak mengalami sebarang kecederaan,” kata seorang lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Lim, 42, semalam.

Lim berkata, ketika itu dia dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di sebuah restoran sebelum terlihat cahaya terang dan api menjulang tinggi di sebuah bangunan rumah kedai di Gat Lebuh Gereja, di sini, awal pagi semalam.

Menurutnya, disebabkan terlalu mahu cepat ke lokasi untuk melihat dengan lebih dekat, dia yang menunggang motosikal terbabas dan terjatuh dalam longkang berhampiran.

“Sebelum itu, saya asyik memerhatikan api berkenaan sambil menunggang motosikal.

“Mungkin juga kerana terlalu mengantuk dan letih selepas seharian bekerja membuatkan saya hilang kawalan,” katanya.

Dalam kebakaran jam 4.30 pagi itu, sebuah kedai menjual peralatan sembahyang musnah dan hampir semua barang dalam premis terbabit hangus.

Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Lebuh Pantai Mohd Rozairi Abd Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan jam 4.35 pagi dan empat jentera bergegas ke lokasi.

Beliau berkata, ketika tiba di tempat kejadian, api sedang marak, namun bomba berjaya mengawal keadaan dalam tempoh 45 minit.

“Mujur tiada penghuni dalam premis berkenaan dan sekiranya ada, mungkin keadaan akan bertukar menjadi lebih buruk.

“Kami masih menyiasat jumlah kerugian dan punca kebakaran,” katanya.

Disiarkan pada: October 22, 2015 @ 8:47am
d