mutakhir

Hilang nyawa tumpang lori

Johor Bahru: Seorang buruh binaan maut digilis lori seberat 10 tan dalam kejadian di tapak projek di Tanjung Kupang, Gelang Patah, di sini, tengah hari semalam.

Kejadian jam 12.15 tengah hari itu berlaku ketika mangsa, Chen Zaichao, 56, yang juga warga China dalam perjalanan pulang ke asrama bersama pekerja tapak projek itu.

Ketua Polis Daerah Nusajaya Superintendan Noor Hashim Mohamad berkata, lelaki itu bersama pekerja lain menumpang lori terbabit untuk pulang ke asrama ketika waktu rehat makan tengah hari.

“Sebaik tiba di lokasi asrama yang terletak kira-kira 1.5 kilometer itu, mangsa dikatakan turun mengikut bahagian kiri lori, manakala rakannya turun di sebelah kanan kenderaan itu.

“Apabila lori itu bergerak, pemandu lori berusia 28 tahun mendakwa terdengar sesuatu di bahagian tayar kiri sebelum dia turun untuk memeriksa,” katanya.

Noor Hashim berkata, pemandu lori terbabit kemudian memberitahu dia nampak mangsa sudah digilis tayar lori.

Beliau berkata, mayat dihantar ke Hospital Temenggung Seri Maharaja Tun Ibrahim dekat Kulai untuk bedah siasat.

Katanya, kes masih disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: October 22, 2015 @ 9:27am
d