mutakhir

Sempat terima ijazah

Baling: Seorang penuntut Kolej Universiti Insaniah (KUIN) Kuala Ketil, yang baru menerima ijazah pada majlis konvokesyen di kampus itu, maut apabila motosikal yang ditunggangnya bersama rakan, terbabit dalam kemalangan di dalam kampus itu semalam.

Dalam kejadian jam 2 petang itu, Miti Teomphol, 22, warga Thailand, meninggal dunia di tempat kejadian selepas cedera parah di kepala akibat terhantuk batu penghadang jalan, sementara rakannya Prachya, 23, hanya cedera ringan dan menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani.

Pegawai Hal Ehwal Pelajar Antarabangsa KUIN Mohd Shahrizan Abdul Mutalib berkata, penuntut terbabit yang mengambil jurusan Syariah hadir ke kampus untuk menghadiri majlis konvokesyen pada sesi sebelah pagi.

Menurutnya, mangsa hadir beberapa hari lalu dari Bangkok, dan menumpang di rumah rakannya di Taman Desa Bidara.

“Saya difahamkan arwah bersama rakannya dalam perjalanan pulang selepas selesai sesi pagi majlis berkenaan dan berada di kawasan ini kemungkinan untuk bertemu rakan senegara,” katanya ketika di temui di Bilik Forensik Hospital Kulim, dekat sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Baling Deputi Superintendan Wari Kiew berkata, mangsa bersama rakannya ketika itu datang dari Dewan Utama Sultanah Bahiyah di dalam kampus itu untuk pulang ke rumah.

Disiarkan pada: October 22, 2015 @ 9:30am
d