mutakhir

Bakar dalam perigi

Oleh Nur Saliawati Salberi

Melaka: Seorang lelaki dan wanita warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara 20 tahun selepas mengaku bersalah atas tuduhan menyebabkan kematian wanita yang mayatnya ditemui dibakar rentung dalam perigi di ladang tembikai susu, di Solok Menggong di sini, dua tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohd Firuz Jaffril menjatuhi hukuman itu terhadap Nor Jannah Supian, 31, dan Muhsinin Harmain, 25, selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan yang dibacakan ke atas mereka.

Berdasarkan pertuduhan, kedua-dua tertuduh bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa menyebabkan kematian Endang Mariani Muhammad Rau, 28, warga Indonesia dengan niat menyebabkan kematiannya.

Kesalahan itu dilakukan kedua-dua tertuduh di Lot 1388, Bukit Antu, Alor Gajah di sini, antara jam 12.30 tengah malam hingga jam 1.30 pagi, 5 Oktober 2013.

Justeru, kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Tertuduh sebelum ini didakwa membunuh mangsa mengikut Seksyen 302 kanun sama yang membawa hukuman mati mandatori.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam bela S Selvi merayu mahkamah mengenakan hukuman ringan memandangkan pengakuan salah dibuat mereka menjimatkan masa mahkamah.

Katanya, tertuduh juga perlu menanggung ibu bapa di kampung halaman selain tiada senjata ditemui.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Effizah Ernie Idris memohon mahkamah mengenakan hukuman berat terhadap kedua-dua tertuduh berdasarkan fakta kes yang dikemukakan, terdapat kekejaman terhadap mangsa.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah menjatuhi hukuman berkenaan bermula daripada tarikh mereka ditangkap, 8 Oktober 2013.

Harian Metro pada 9 Oktober 2013 melaporkan, akibat cemburu, seorang wanita dibunuh sebelum mayatnya dibuang ke dalam perigi sedalam lima meter dan dibakar rentung.

Mayat mangsa yang berasal dari Lombok Barat, Indonesia ditemui pemilik ladang berkenaan, jam 6.30 petang, 7 Oktober selepas terhidu bau busuk.

Kurang 12 jam selepas penemuan mayat mangsa, polis menahan lima suspek berusia 23 tahun hingga 39 tahun dan tiga daripada mereka lelaki warga Indonesia termasuk kekasih mangsa.

Disiarkan pada: October 22, 2015 @ 9:39am
d