mutakhir

RDC3 perangi militan

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad dan Kalidevi Mogan Kumarappa

Kuala Lumpur: Dalam usaha memantau dan membanteras propaganda serta kegiatan kumpulan negara Islam (IS) yang giat merekrut ahli baru menggunakan Internet khususnya di rantau Asia, sebuah Pusat Serantau Digital Memerangi Mesej melalui Komunikasi (RDC3) diwujudkan dalam masa terdekat.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, semua hal berkaitan penubuhan RDC3 diteliti bersama AS yang menunjukkan minat mendalam terhadap inisiatif itu.

Katanya, pemilihan negara ini selain Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagi penubuhan RDC3 dijangka berpusat di Kuala Lumpur, disebabkan komitmen kerajaan khususnya melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) menangani kegiatan keganasan.

“Usaha yang dilakukan bukan setakat empat undang-undang diperkenalkan sama ada pencegahan malah program seperti pemulihan dan deradikalisasi militan.

“Namun yang penting kegiatan merekrut (militan) melalui ruang maya dan media sosial. RDC3 satu pusat untuk memantau semua pergerakan dijangka dilakukan oleh pihak pengganas atau potensi melakukan keganasan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Peralatan Khas Polis (GPEC) Asia 2015 ke- 4 berlangsung tiga hari bermula semalam, di Pusat Dagangan Dunia Putra(PWTC), di sini.

Hadir sama, Menteri Sumber Asli Dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Ibrahim dan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim.

Ahmad Zahid berkata, rangka bagi mewujudkan RDC3 itu mengikut kaedah digunakan di AS dan UAE dan apabila siap kelak, ia akan menjadi rujukan bagi negara berdekatan termasuk Australia dan New Zealand untuk menyelaras aktiviti membanteras keganasan.

“Pusat ini akan dikendalikan sepenuhnya PDRM dan agensi penguatkuasaan lain termasuk Jabatan Imigresen,” katanya.

Untuk rekod, idea penubuhan RDC3 diutarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika berucap pada Sidang Kemuncak Pemimpin mengenai Pembanterasan ISIL dan Keganasan Melampau dipengerusikan Presiden Barack Obama di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), 29 Oktober tahun lalu.

Sementara itu, katanya, kerajaan menjangkakan perjanjian pembelian aset dan peralatan bernilai RM500 juta termasuk helikopter dijangka ditandatangani menerusi GPEC 2015 khususnya oleh PDRM selain beberapa perjanjian persefahaman, pemindahan teknologi serta program ‘offset’.

Beliau berkata, penganjuran GPEC 2015 selari hasrat kerajaan untuk menyuntik elemen pemodenan dalam kepolisan.

“Kita bukan saja mempertingkatkan latihan kepada pegawai dan anggota polis, tetapi PDRM perlu dilengkapkan dengan aset dan peralatan canggih sesuai dengan cabaran semasa yang semakin mencabar.

“PDRM bukan saja berdepan ancaman jenayah dilakukan di sekitar negara ini, malah jenayah rentas sempadan termasuk keganasan di Syria dan Iraq yang menuntut pemodenan PDRM dari segi peralatan dan aset,” katanya.

Disiarkan pada: October 22, 2015 @ 9:54am
d