mutakhir

Jus lalok resipi lima 'chef'

Oleh Siraj Mohd Zaini

Kuala Lumpur: Sekumpulan lima ‘chef’ tempatan diberkas polis selepas dikesan menghasilkan jus lalok menggunakan ramuan campuran dadah ketamin dan pil Ecstasy.

Mereka dikesan sengaja meletakkan pewarna tambahan dan mengisi cecair bancuhan itu ke dalam botol minuman beri bertujuan mengaburi kegiatan dari dihidu pihak berkuasa.

Malah, air minuman khayal itu yang sebelum ini dijual pada harga RM120 sebotol mendapat permintaan tinggi apabila ia dinaikkan harga kepada RM350 sebotol baru-baru ini.

Sindiket itu dikesan mengaut keuntungan besar selepas memasarkan campuran air khayal itu kepada kaki disko dan pengunjung parti liar di sekitar Lembah Klang sejak enam bulan lalu.

Kegiatan suspek berusia 32 hingga 43 tahun itu terbongkar selepas sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukti Aman bersama Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) menyerbu sebuah kondominium di Kepong di sini, malam Selasa lalu.

Polis turut menyerbu empat lagi lokasi lain di sekitar Gombak dalam tempoh 24 jam selepas serbuan pertama dilakukan.

Timbalan Pengarah JSJN Bukit Aman Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim berkata, pihaknya merampas 1,218 botol minuman khayal itu yang sudah sedia untuk dipasarkan kepada pelanggannya.

Menurutnya, hasil serbuan itu, polis turut merampas 10,015 pil Ecstasy, 39 pil Eramin, 108gram ketamin yang dipercayai digunakan anggota sindiket untuk menghasilkan air khayal itu.

“Nilai keseluruhan rampasan dadah dalam lima serbuan dilakukan itu dianggarkan bernilai RM1.14 juta.

“Serbuan dilakukan berdasarkan maklumat orang ramai dan risikan polis yang mengesyaki kondominium itu dijadikan sebagai ‘kilang’ pemprosesan cecair dadah,” katanya dalam satu sidang media, semalam.

Mohd Dzuraidi berkata, polis turut menyita sebuah kereta model Mercedez Benz, wang tunai RM181,000 serta enam jam tangan mewah dengan nilai keseluruhan sitaan berjumlah RM450,000.

“Semua suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga 27 Oktober ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Beliau berkata, meskipun pelbagai taktik digunakan sindiket pengedaran dadah namun polis sentiasa berjaya mematahkan aktiviti mereka.

Harian Metro sebelum ini turut mendedahkan kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur menahan dua suspek dan merampas 100 botol air campuran dadah di sebuah pangsapuri di Jalan Pudu di sini.

Disiarkan pada: October 23, 2015 @ 9:20am
d