mutakhir

Jel 30 bulan 'tarik' wang RM28,930

Kota Bharu: Seorang wanita dipenjara 30 bulan di Mahkamah Majistret, di sini, semalam terhadap enam tuduhan memperdaya wang dan barang kemas bernilai RM28,930 milik seorang wanita tiga tahun lalu.

Majistret Mohamad Nasrudin Mohamed menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Suzana Yasin, 45, mengaku bersalah terhadap tuduhan.

Mahkamah yang sebelum itu menjatuhkan hukuman penjara 30 bulan bagi setiap pertuduhan memerintahkan ia berjalan serentak bermula dari tarikh jatuh hukuman.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, tertuduh didakwa memperdaya Rabiah Salleh, 59, dengan menjanjikan pulangan menguntungkan sehingga mangsa menyerahkan barang kemas dan wang tunai bernilai RM12,150 antara jam 12 tengah hari hingga 3.15 petang pada September 2012 hingga Disember 2013.

Ketiga-tiga perbuatan dilakukannya di sebuah kedai, kedai emas dan sebuah bank di Kok Lanas.

Bagi pertuduhan keempat hingga keenam pula, tertuduh didakwa memperdaya mangsa supaya menyerahkan barang kemas bernilai RM16,780 antara jam 2.30 petang hingga 3.30 petang pada September 2012 di hadapan kedai emas di Kok Lanas.

Semua pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta denda jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, mangsa berurusan dengan tertuduh selepas wanita itu mendakwa kononnya mampu menarik wang dan emas menerusi khadam untuk memberi keuntungan berlipat kali ganda.

Mangsa yang percaya dengan tertuduh menyerahkan barang kemas dan wang tunai kepada tertuduh berjumlah lebih RM28,000.

Bagaimanapun, sehingga kini, mangsa tidak memperoleh keuntungan.

Terdahulu, tertuduh dalam rayuannya memohon hukuman ringan kerana sudah insaf selain perlu menyara dua anak.

Namun, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Syahrun Nizam Mohd Misan memohon hukuman setimpal untuk memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai.

Disiarkan pada: October 23, 2015 @ 9:27am
d