mutakhir

Landskap janji habuan lumayan

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

Seremban: Biarpun memiliki Sijil Pertanian Pengkhususan Buah-Buahan dari Institut Pertanian (IP) Serdang, Selangor dan Kuala Lipis, Pahang, ia bukan penghalang bagi bekas graduan Halizam Othman, 45, untuk bergelar usahawan dalam dunia yang berbeza iaitu landskap.

Minat mendalam terhadap perusahaan landskap menyebabkan bapa kepada lima cahaya mata itu menubuhkan syarikat Smartscape Landscaping & Nursery Sdn Bhd yang berpangkalan di Taman Seremban Jaya, di sini, sejak 1997.

Anak kelahiran Kluang, Johor itu membuktikan kemampuannya apabila beberapa projek seperti di Mersing Laguna, Johor Bahru; Park Jentayu, Bandar Enstek, Negeri Sembilan dan Bandar Kinrara, Puchong, Selangor, yang dikendalikannya mencapai kejayaan.

Katanya, biarpun miliki sijil pengkhususan buah-buahan dimiliki dari dua IP pada 1989 hingga 1991, dia menceburi perusahaan itu disebabkan minat yang mendalam dan masa depan yang cerah dalam bidang landskap.

“Bermodalkan keyakinan tinggi bahawa landskap menjanjikan pendapatan lumayan, saya mendalami perusahaan ini. Selain menggunakan ilmu yang dipelajari ketika di Institut Pertanian, saya mempelajari selok-belok perusahaan daripada pelbagai pihak,” katanya yang menerima sokongan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sejak 1997.

Menurut Halizam, sejurus menamatkan pengajian pada 1992, dia bekerja dengan syarikat pembinaan di Kuala Lumpur selama lima tahun sebelum berhenti untuk menjadi usahawan.

Beliau yang turut memiliki lesen daripada Persatuan Landskap Arkitek Malaysia (ILAM) berkata, graduan IP perlu berani mempelbagaikan pengkhususan kerja dan tidak hanya terarah kepada jurusan pengajian semata-mata.

“Bidang landskap mampu menyumbang pendapatan lumayan sekiranya kita yakin dan berani untuk mengubah suai,” katanya.

Mengulas projek terbarunya iaitu pembinaan padang sintetik di Sekolah Rendah Agama (SRA) Sri Setia, Seremban, di sini, bernilai RM1.5 juta, Halizam menjelaskan, projek itu dijalankan sejak Disember lalu atas permintaan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah swasta itu.

Katanya, selain sekolah sukan, sekolah agama terbabit adalah yang pertama dalam negara memiliki padang sintetik yang dibiayai PIBG, kerajaan negeri dan wakaf.

Beliau yang juga Yang Dipertua PIBG sekolah itu berkata, padang sintetik menggunakan rumput tiruan yang dibeli secara terus dari Shanghai, China.

“Kami menggunakan teknologi Amerika Syarikat (AS) dengan bantuan lapan pekerja. Padang berkeluasan 30,000 kaki persegi ini dihasilkan melalui penggunaan 28 gulung rumput tiruan,” katanya.

Menurutnya lagi, projek itu sudah 95 peratus siap dan dijangka dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, 13 November depan.

“Penghasilan padang sintetik ini memerlukan tempoh antara enam hingga lapan bulan.

“Ia menggunakan konsep ‘softscape’ dan ‘hardscape’ membabitkan penanaman rumput dan pengindahan kawasan sekeliling,” katanya ketika ditemui.

Disiarkan pada: October 23, 2015 @ 9:36am
d