mutakhir

Kuat kuasa peraturan kediaman pekerja asing

Kuala Terengganu: Kementerian Kesihatan meminta agensi berkaitan meningkatkan tindakan penguatkuasaan terhadap peraturan pengurusan tempat tinggal pekerja asing terutama di kawasan tapak pembinaan bagi mengelak wabak jangkitan penyakit menular dengan cepat.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, sikap sesetengah warga asing yang tidak menitikberatkan kebersihan di rumah menjadi ancaman kesihatan besar kepada rakyat Malaysia seperti wabak demam kepialu sedang menular ketika ini.

Katanya, langkah penguatkuasaan perlu dipertingkatkan berikutan ada sesetengah majikan mengabaikan kebajikan pekerja mereka kerana mahu mengaut keuntungan.

“Sebagai contoh, terdapat 20 pekerja asing tinggal bersama dalam satu bilik dan berkongsi segala-galanya sehingga mengabaikan sistem sanitasi serta menggunakan sumber air tidak sempurna dan tidak bersih.

“Sebenarnya dasar dan peraturan sudah ada, cuma tindakan penguatkuasaan sahaja perlu diperhebatkan agar majikan lebih bertanggungjawab terhadap tempat tinggal dan penempatan yang baik dan selamat untuk pekerja mereka.

“Perkara sebegini terjadi kerana sikap majikan yang terlalu mahu mengaut keuntungan sehingga mengabaikan kebajikan mereka,” katanya selepas merasmikan Pusat Rawatan Ibu dan Bayi (PRIBA) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Terengganu Muhammad Pehimi Yusof dan Pengarah Jabatan Kesihatan Terengganu Dr Mohamad Omar.

PRIBA dibina dengan kos RM115 juta dengan kemudahan 324 buah katil, 24 bilik bersalin dan dewan bedah bagi memudahkan pesakit mendapatkan rawatan di HSNZ.

Menurut Dr Subramaniam, negara mempunyai kemudahan diagnosis dan antibiotik untuk mengesan dan merawat kes itu kerana mempunyai bekalan vaksin mencukupi.

Disiarkan pada: October 23, 2015 @ 10:01am
d