mutakhir

Biar berlaku adil

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa

Kuala Lumpur: “Kita (Malaysia) tidak akan beri tekanan kepada Indonesia berhubung isu jerebu berikutan negara jiran itu sudah menunjukkan komitmen tinggi bagi mengatasi masalah berkenaan,” kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Zahid Hamidi.

Menurutnya, adalah tidak adil untuk menyalahkan Indonesia berikutan pemerintah republik itu melakukan segala termampu untuk mengatasi jerebu.

Katanya, pemimpin Indonesia juga sudah meminta bantuan semua negara jiran untuk berganding bahu mengatasi masalah itu.

“Presiden Joko Widodo juga memperlihatkan komitmen tinggi bagi menyelesaikan masalah ini secara jangka panjang,” katanya pada sidang media selepas memberi ucaptama pada Dialog Keselamatan Antarabangsa Putrajaya bertajuk Bersatu Menentang Keganasan: Kerjasama Rentas Sempadan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), semalam.

Katanya, semua pihak yang menerima kesan jerebu ini diminta tidak terus menuding jari menyalahkan satu sama lain.

“Kita juga harus bersimpati dengan Indonesia. Jangan mengkritik mereka sahaja.

“Pada masa yang sama, saya juga harap tiada pihak di Indonesia yang menyalahkan pelabur Malaysia yang membuka ladang sawit di sana sebagai punca kebakaran,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia juga bersedia untuk berkongsi amalan terbaik penanaman kelapa sawit kepada Indonesia dalam usaha mengurangkan kebakaran dan mengatasinya di masa akan datang.

Menurut kajian Jabatan Alam Sekitar (JAS), 97 peratus pembakaran tanah gambut berpunca daripada peladang kecil sawit yang masih menggunakan cara tradisional untuk penanaman mereka.

Disiarkan pada: October 23, 2015 @ 10:10am
d