mutakhir

Dituduh cuba bunuh kastam

Kangar: Seorang pekebun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, semalam, atas tuduhan cubaan membunuh tiga pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia di Padang Besar pada awal bulan ini.

Tertuduh, Shakirudin Salim, 36, meminta dibicarakan selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Norhayati Ibrahim.

Sebelum itu, tertuduh yang berkemeja kuning dan berseluar panjang, tiba di perkarangan mahkamah pada jam 5.15 petang diiringi anggota polis. Malah, ahli keluarga tertuduh kelihatan di perkarangan mahkamah sejak tengah hari.

Mengikut kertas pertuduhan, Shakirudin didakwa cuba membunuh tiga pegawai kastam iaitu Abdullah Ayob, 36, Mohd Safawi Rusdi, 27, dan Mat Zoher Mohd Saad, 47, dengan cara melanggar belakang kereta kastam Honda Odyssey sehingga terbabas dengan niat hendak menyebabkan kematian.

Kesalahan didakwa berlaku di KM24 Jalan Titi Tinggi, Jalan Padang Besar-Kangar jam 4.25 pagi pada 9 Oktober lalu dan dituduh mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan di mana sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nisla Abd Latif, manakala Shakirudin diwakili Amar Jit Singh yang bertindak selaku peguam ‘pro bono’ (percuma) bagi pihak tertuduh untuk rayuan jaminan.

Norhayati membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan dua penjamin warga tempatan, sebelum menetapkan 1 Disember depan untuk penyerahan dokumen dan lantikan peguam baru.

Sementara itu, seorang lagi suspek kes langgar pegawai kastam, Johannes Amar Khazali, 24, dibebaskan dengan bon mahkamah di mahkamah sama, semalam.

Disiarkan pada: October 24, 2015 @ 5:44am
d