mutakhir

Formula 1 'besi buruk'

Kota Tinggi: Hanya bermodalkan besi buruk bernilai RM2,200, dua beradik dari FELDA Sening di sini, menggunakan bakat luar biasa apabila mencipta sebuah replika kereta lumba Formula 1 (F1) yang diolah secara kreatif daripada bahan terbuang.

Melalui gabungan komponen seperti rangka kenderaan, enjin terpakai, kepingan zink dan gentian kaca, siapa sangka kerja tangan Azamrudin Shawal, 34, bersama adiknya Mohd Airi, 23, selama 56 jam itu menjadi realiti untuk mencipta kereta F1.

Bakat mekanik muda itu mengagumkan ramai pihak, malah kenderaan dihasilkan generasi kedua FELDA Sening itu mampu bergerak dengan kelajuannya mencecah antara 70 hingga 120 kilometer sejam.

Berbanding pereka profesional lain yang mempunyai sumber rujukan dari pelan lukisan atau Internet, Azamrudin dan Mohd Airi pula sebaliknya hanya menjadikan model kereta mainan F1 di pasaran sebagai rujukan bagi menghasilkan prototaip sebenar.

Azamrudin berkata, idea menghasilkan kenderaan terbabit tercetus pada 2012 ketika FELDA Sening bersiap sedia menyertai pertandingan Anugerah Keceriaan Kampung FELDA (AKKF) dan kempen menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

“Dengan bersumberkan bahan terpakai, kami berdua merancang menghasilkan kereta F1, sekali gus menjadikan projek ini berbeza.

“Modal digunakan juga murah dan hanya bersumberkan besi buruk. Kos RM2,200 itu meliputi harga rangka kenderaan (RM300), enjin terpakai Daihatsu Charade model 1984 (RM400), kepingan zink, gentian kaca dan semburan cat (RM1,500),” katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Disiarkan pada: October 24, 2015 @ 6:10am
d