mutakhir

Khidmat kesihatan terbaik

Oleh Asmah Rusmana

Kuala Lumpur: Pembinaan hospital dan klinik kesihatan baru dalam peruntukan Bajet 2016 membuktikan kerajaan sentiasa memastikan rakyat dapat menerima perkhidmatan kesihatan yang baik dan berterusan.

Ketua Kluster Perubatan dan Sains Kesihatan Majlis Profesor Negara Prof Datuk Dr Mohd Amin Jalaluddin berkata, penambahbaikkan dalam hospital kerajaan dan klinik kerajaan dapat memberi keselesaan kepada rakyat.

“Selain itu, peruntukan yang diberikan juga dapat membantu rakyat mendapatkan rawatan di hospital kerajaan secara berterusan seperti perkhidmatan rawatan hemodialisis yang diberikan kepada penyakit buah pinggang.

“Peruntukan bagi pemberian vaksin di hospital dan klinik kerajaan juga adalah satu langkah pencegahan awal dalam menangani pelbagai jenis penyakit berjangkit.

“Jelas peruntukan berkenaan bukan saja membantu mereka yang sedang menerima rawatan, malah turut memberi peluang kepada rakyat mengambil langkah pencegahan bagi mendapatkan tahap kesihatan yang baik,” katanya.

Mengulas mengenai pembinaan lima buah hospital baru dan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Kuala Lumpur yang bakal beroperasi Oktober tahun depan, beliau berharap ia dapat mengurangkan masalah kesesakan yang dihadapi hospital kerajaan.

“Hospital baru itu nanti dapat menampung jumlah pesakit di kawasan berhampiran, malah pesakit akan menjadi lebih selesa kerana tidak perlu bersesak sepanjang menerima rawatan,” katanya.

Beliau berkata, peruntukan dalam penambahbaikan sektor kesihatan juga dilihat dapat meningkatkan kepakaran dalam bidang perubatan di negara ini setanding perkhidmatan antarabangsa.

Disiarkan pada: October 24, 2015 @ 6:42am
d