mutakhir

Perkasa anak bangsa

Kuala Lumpur: Bajet sektor pendidikan yang diumumkan, semalam adalah bukti kerajaan tidak meminggirkan orang Melayu dan memperkasakan sistem pendidikan negara.

Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Zambri Mohd Isa berkata, secara keseluruhan, pembentangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mencakupi semua bidang sama ada pembangunan fizikal, infrastruktur dan pemerkasaan penguasaan bahasa Malaysia dan Inggeris dalam kalangan pelajar.

Katanya, pihaknya berpuas hati dengan beberapa pengumuman pembinaan sekolah baru dan peruntukan lain yang lebih besar berbanding tahun lalu.

“Pertamanya, saya suka melihat dari segi pembangunan infrastruktur. Memandangkan ketika ini nisbah pelajar dalam satu kelas lebih kurang 40 orang, pembinaan lebih banyak sekolah mengurangkan jumlah sedia ada dan memberikan kualiti lebih baik.

“Selain itu, bantuan persekolahan yang diteruskan sebanyak RM100 memberi perangsang kepada semua sama ada pelajar dan ibu bapa. Kita tahu dalam situasi ekonomi kurang memberangsangkan, bantuan ini amat baik dan melegakan banyak pihak,” katanya.

Zambri berkata, Baucar Buku 1Malaysia yang bernilai RM250 juga satu kesinambungan sistem yang baik kepada sektor pendidikan kerana jumlah besar manfaat.

Katanya, peruntukan disediakan bagi memperkasa bahasa Malaysia dan memperkukuh bahasa Inggeris juga perlu dilihat sebagai peluang memastikan murid tidak ketinggalan menguasai kedua-dua bahasa berkenaan dengan baik.

“Sebab itu saya melihat ia bajet yang terangkum. Memang satu pengiktirafan kerajaan untuk melihat lebih banyak kejayaan dicipta sehingga ke peringkat antarabangsa. Hasilnya nanti, pelajar kita boleh bersaing dengan negara luar,” katanya.

Sementara itu, Profesor Psikologi Pendidikan Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Dr Rosna Awang Hashim berkata, bajet yang diumumkan itu lebih menumpukan kepada pembangunan infrastruktur dan keperluan asas seperti sebelumnya.

“Seperti dijangkakan, kita masih memerlukan keperluan asas, namun begitu, pembangunan modal insan seperti tidak begitu didengari. Contohnya prasekolah yang mendapat peruntukan, tetapi saya kira sepatutnya lebih lagi kerana mereka perlu dicorakkan dari peringkat awal. Seluruh peringkat akan mendapat hasil daripada pra sekolah itu.

“Apapun, bukan penting jika kita sebut mengenai peruntukan saja, apa yang lebih mustahak ialah bagaimana pelaksanaannya. Bagi program memperkukuh bahasa, ia sepatutnya dibuat di peringkat sekolah rendah, bukan sekolah menengah kerana pada usia muda lagi bagus,” katanya.

Disiarkan pada: October 24, 2015 @ 6:44am
d