mutakhir

Tunda bedah siap tesis

Sintok: Walaupun menderita penyakit Ateriovenus Malfomation (AVM) pada tulang belakang yang hampir meragut nyawanya, ia bukan halangan buat Siti Intan Baizura Musa, 32, untuk mencapai impian menggenggam segulung ijazah walaupun terpaksa berkerusi roda.

Siti Intan Baizura dari Kuala Terengganu, Terengganu, yang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Pendidikan Pengajaran dan Kokurikulum berkata, kesukaran yang dialaminya secara tidak langsung menjadi pembakar semangat untuk menimba ilmu di Universiti Utara Malaysia (UUM), selepas disahkan menghidap penyakit itu pada 2011.

Menurutnya, dia terpaksa berkerusi roda disebabkan mengalami komplikasi kerana lambat membuat pembedahan untuk merawat AVM berikutan perlu menyiapkan tesis terakhir pada 17 September lalu.

“Saya lewat membuat pembedahan menyebabkan saluran darah yang nipis pada tulang belakang pecah dan mengalami pendarahan, akhirnya saya terpaksa berkerusi roda disebabkan hampir lumpuh.

“Sebelum ini, saya ditempatkan untuk mengajar di Mukah, Sarawak, tetapi disahkan oleh doktor menghidap penyakit kritikal menyebabkan ditempatkan semula di kampung pada awal 2011 lalu.

“Saya nekad untuk menyambung pengajian pada 2013 lalu untuk membuktikan keupayaan diri sebagai langkah dalam memajukan diri walaupun menerima ujian yang begitu hebat,” katanya.

Siti Intan Baizura yang juga guru Sekolah Kebangsaan Binjai Kertas, Kuala Terengganu berkata demikian ketika ditemui selepas menerima ijazah sarjana daripada Pro-Canselor UUM, Tun Dr Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim pada majlis konvokesyen UUM ke-28 di Dewan Mu’adzam Shah UUM, di sini, semalam.

Dia turut ditemani kedua-dua ibu bapanya, Musa Ahmad, 54, pemandu bas, dan Robiah Saad, 51, suri rumah.

Disiarkan pada: October 26, 2015 @ 8:22am
d