mutakhir

'Apa yang penting karya bagus'

Oleh Muhammad Saufi Hassan dan Wahi Aziz

Kuala Lumpur: Industri seni kreatif di negara ini perlu mempertingkatkan nilai komersial supaya terus berkembang biarpun tiada peruntukan khas diberi kerajaan sempena pengumuman Bajet 2016.

Saranan itu dibuat Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) Datuk Freddie Fernandez yang melihat penggiat seni perlu lebih berdikari dan tidak bergantung kepada peruntukan daripada kerajaan.

“Saya melihat ketiadaan peruntukan khas untuk industri seni kreatif ini bukan masalah besar.

“Ia baik untuk industri kerana penggiat seni perlu berdikari dan menghasilkan karya bermutu tinggi.

“Jika sesuatu karya itu mempunyai nilai komersial tinggi, ia mampu bersaing dengan karya luar negara tanpa memerlukan peruntukan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, ketiadaan peruntukan itu bukan sesuatu yang mengecewakan kerana industri masih berkembang dengan penghasilan karya yang baik.

Nada sama turut dikongsi Presiden Eksekutif KRU Music Norman Abdul Halim yang berpendapat keputusan itu bukan mengejutkan kerana peruntukan daripada dua pembentangan Bajet 2014 dan tahun lalu berjumlah keseluruhan RM300 juta masih banyak berbaki.

“Pada tahun lalu industri kreatif menerima RM100 juta untuk kandungan digital dan RM200 juta pada tahun sebelumnya. Perbelanjaan dalam bidang muzik dan filem khususnya tidaklah sebesar mana.

“Saya difahamkan jumlah yang baru dibelanjakan dalam bidang kreatif setakat ini amat kecil. Jadi saya percaya bakinya masih banyak untuk membantu pembangunan bidang muzik, filem dan animasi pada tahun akan datang,” katanya.

Katanya, keputusan itu tindakan positif sebagai langkah penjimatan belanjawan kerajaan.

“Ia keputusan positif kerana acara atau projek industri kreatif yang tidak bersesuaian atau penting patut dihentikan bagi mengawal perbelanjaan di bawah dana sedia ada.

“Saya lihat jika kerajaan memberikan galakan pelaburan kepada pelabur luar terhadap industri kreatif, ia lebih baik berbanding insentif dalam bentuk dana atau pinjaman,” katanya.

Disiarkan pada: October 26, 2015 @ 8:34am
d